WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata yang melarikan diri selepas cuba menceroboh pejabat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di Ohio, Amerika Syarikat (AS) ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis.
Kes itu mendapat liputan seluruh negara kerana berlaku beberapa hari selepas FBI memeriksa kediaman bekas Presiden AS, Donald Trump, di Florida, yang mencetuskan kemarahan penyokong berhaluan kanan.
Menurut FBI, seorang lelaki bersenjata yang memakai perisai badan cuba ‘menceroboh’ pintu masuk ke pejabat FBI di Cincinnati, Ohio, pagi semalam.
Jurucakap polis berkata, pihak berkuasa kemudian mengejar kereta suspek sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan luar bandar.
“Selepas kereta itu berhenti, suspek dan pihak berkuasa di lokasi terus berbalas tembakan, pihak berkuasa cuba berunding dengan suspek, namun lelaki itu enggan menyerah diri,” katanya.
Kelmarin, Pengarah FBI, Christopher Wray, menyelar ancaman terhadap FBI susulan serbuan di kediaman Trump, dan menyifatkannya sebagai tindakan buruk lagi berbahaya.
Media AS melaporkan, siasatan di kediaman Trump itu berkait dengan kemungkinan salah urus dokumen sulit Kerajaan Persekutuan yang dihantar ke Mar-a-Lago selepas Trump meninggalkan White House pada Januari tahun lalu. – AFP