Larang pemakaian tudung, Perancis langgar hak antarabangsa - PBB - Utusan Malaysia

Larang pemakaian tudung, Perancis langgar hak antarabangsa – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendapati Perancis melanggar perjanjian hak antarabangsa apabila negara itu melarang seorang wanita daripada memakai tudung ketika mengikuti kursus di sebuah sekolah.

Jawatankuasa terbabit memutuskan tindakan berkenaan melanggar Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik, susulan aduan difailkan pada 2016 oleh wanita warga Perancis yang dilahirkan pada 1977 itu.

Bagaimanapun, peguam wanita itu tidak mahu nama anak guam mereka disiarkan.

Wanita itu dilaporkan menjalani kursus latihan profesional untuk dewasa pada 2010, dan lulus temu duga serta ujian kemasukan.

Namun, pengetua sebuah sekolah tinggi di pinggir bandar Paris enggan membenarkannya memasuki premis itu berikutan larangan memakai simbol agama di kemudahan pendidikan awam.

“Melarang beliau daripada meneruskan penyertaan dalam kursus pendidikan yang diikutinya ketika memakai tudung, adalah sekatan terhadap kebebasan beliau dalam beragama, sekali gus melanggar perjanjian terbabit,” menurut jawatankuasa berkenaan.

Keputusan jawatankuasa itu diterima pakai pada Mac lalu, namun baru dihantar kepada peguam wanita berkenaan, semalam.

“Ini adalah satu keputusan penting yang menunjukkan Perancis mempunyai tugas yang perlu dilakukan dari segi hak asasi manusia, terutama dalam isu menghormati minoriti agama, khususnya komuniti Islam,” kata peguam wanita itu, Sefen Guez Guez, kepada AFP. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya