SEREMBAN: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) merekodkan seramai 13,883 pendaftaran keahlian baharu sekali gus melepasi jumlah 8,000 ahli baharu yang ditetapkan pada tahun lepas.
Pengarahnya, Jamilah Katis berkata, pada setiap tahun, pihaknya akan menyasarkan pertambahan keahlian baharu sebanyak 10 peratus.
“Alhamdulillah, ini suatu perkara baik yang dicapai hasil kerja keras menerusi program dan aktiviti luar yang dijalankan samada di dalam PPANS dan di luar di samping kerjasama dari semua pihak yang telah membantu meningkatkan jumlah keahlian.
“Pada tahun ini, PPANS menetapkan sasaran ahli baharu seramai 9,000 orang,” katanya.
Jamilah menambah, dengan sambutan baik daripada segi pendaftaran keahlian itu membuktikan orang ramai masih lagi meminati pembacaan buku.
Katanya, memandangkan zaman kian berubah dengan industri buku bergelut bagi menyaingi ketagihan ‘membaca’ media sosial, namun minat orang ramai membaca buku tetap ada.
“Kesedaran orang ramai membaca juga masih ada. Ini dapat dilihat daripada kunjungan orang ramai ke PPANS ini pada setiap hujung minggu.
“Ramai yang hadir bersama keluarga dan anak-anak dan menggunakan kemudahan yang kita sediakan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jamilah berkata, PPANS juga akan memperluaskan jalinan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan turut serta dengan Perkhidmatan Pinjaman Berkelompok yang ditawarkan.
“Perkhidmatan berkenaan menawarkan jumlah pinjaman sebanyak 300 hingga 600 buah buku dengan tempoh pinjaman selama enam bulan.
“PPANS juga amat menggalakkan semua pihak termasuklah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk turut serta kerana PPANS mempunyai banyak buku-buku yang boleh disalurkan dan jika ingin lebih buku pun kami boleh berikan,” katanya.-UTUSAN.










