Lapisan ais terbesar dunia berisiko tingkatkan paras air laut - Utusan Malaysia

Lapisan ais terbesar dunia berisiko tingkatkan paras air laut

BONGKAH ais terapung di McMurdo Sound di Antartika - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Satu kajian mendedahkan lapisan ais terbesar di dunia berisiko menyebabkan paras air laut meningkat `beberapa meter’ dalam tempoh beberapa dekad akan datang.     

Situasi itu boleh berlaku sekiranya suhu global meningkat lebih dua darjah Celsius.

Para penyelidik di Durham University memaklumkan sekiranya pelepasan gas rumah hijau global berada pada tahap tinggi, maka pencairan Lapisan Ais Antartika Timur (EAIS) boleh menyebabkan hampir setengah meter kenaikan paras laut menjelang 2100.

Analisis kumpulan penyelidik itu diterbitkan dalam jurnal saintifik Nature.

Sekiranya pelepasan kekal tinggi melebihi tahap itu, maka EAIS berisiko menyumbang peningkatan sekitar satu hingga tiga meter paras laut menjelang 2300 serta dua hingga lima meter pada 2500.      

Bagaimanapun, jika pelepasan gas rumah hijau berkurangan secara mendadak, EAIS dijangka menyumbang kira-kira dua sentimeter (cm) peningkatan paras laut menjelang 2100. 

Angka ini menunjukkan jauh lebih rendah berbanding pencairan ais di Greenland dan Antartika Barat.

“Kesimpulan penting daripada analisis ini adalah nasib EAIS kini berada di tangan kita.

“Setakat ini, lapisan ais ini adalah yang terbesar di Bumi, malah bersamaan 52 meter paras laut. Jadi adalah sangat penting untuk tidak menjejaskannya,” kata pengarang utama kajian, Chris Stokes.

Kumpulan penyelidik yang membabitkan saintis dari Britain, Australia, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) menganalisis bagaimana lapisan ais bertindak balas terhadap tempoh suhu panas ketika membuat ramalan.   

Para penyelidik menjalankan simulasi komputer untuk memodelkan kesan tahap pelepasan gas rumah hijau yang berbeza dan suhu pada lapisan ais menjelang tahun 2100, 2300 dan 2500. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya