JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak wajar diadakan dalam waktu terdekat susulan rakyat dan negara sedang berdepan situasi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global, ketika ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Md. Ysahruddin Kusni berkata, keutamaan perlu diberi terhadap kestabilan politik dan ekonomi, bukannya percaturan politik jangka pendek.
Menurut beliau, konflik antarabangsa yang berpanjangan telah memberi kesan langsung kepada kenaikan harga minyak dan kos sara hidup, sekali gus menambah beban rakyat serta keupayaan kerajaan mengekalkan subsidi.
“Dalam keadaan ini, adalah tidak sesuai mengheret negeri ke kancah pilihan raya kerana ia boleh menambah ketidaktentuan politik dan menjejaskan fokus kerajaan dalam mengurus ekonomi serta kebajikan rakyat.
“Johor sebagai negeri yang mempunyai kedudukan strategik dan hubungan ekonomi rapat dengan Singapura memerlukan persekitaran politik yang stabil bagi mengekalkan keyakinan pelabur.
“Sebarang ketidaktentuan politik akibat pilihan raya bukan sahaja berpotensi menjejaskan aliran pelaburan, malah boleh memberi kesan langsung kepada peluang pekerjaan rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada sektor industri dan pekerjaan rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ysahruddin meminta semua pihak dalam kerajaan agar mengutamakan kestabilan dengan menghentikan polemik politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Ini adalah masa untuk memperkukuh kerjasama dan mencari penyelesaian, bukan mencetuskan perpecahan. Kepentingan rakyat mesti mengatasi segala pertimbangan politik,” katanya.-UTUSAN









