Keadilan mengatasi mahzab dalam isu kezaliman

Keadilan mengatasi mahzab dalam isu kezaliman

amai yang berdebat dan mempersoalkan perlukah kita menyokong Iran dalam konflik di Asia Barat sedangkan mereka Syiah? - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Israel akan berkonflik dengan sesiapa sahaja yang memusuhinya, malah negara haram itu berkonflik kerana sistem pemikiran, doktrin keselamatan, dan struktur ideologi yang menjadikan konflik sebagai cara mengesahkan ‘kewujudan’ di dunia (mode of existence).

Sejak penubuhannya, Israel terlibat dalam rentetan konflik bersenjata yang mencerminkan doktrin strategik yang tersusun. Bermula dengan Perang 1948 yang bersifat pertahanan kewujudan, Israel kemudiannya beralih kepada pendekatan pre-emptive yang jelas dalam Perang Enam Hari 1967.

Pada 28 Februari 2026, dunia menyaksikan babak terbaru dalam sejarah peperangan. Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran dan membunuh pemimpin tertinggi negara tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesan serangan dan konflik yang berlanjutan itu dirasai dari pasaran minyak di New York hingga ke dapur rakyat biasa di Kuala Lumpur.

Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Mohamad Razif Mohamad Fuad berkata, Iran adalah negara yang didiami 90 hingga 95 peratus penganut Syiah. Perbezaan ‘kutub’ Sunni dan Syiah berkisar kepada tiga paksi besar.

Pertama, katanya, soal kepimpinan, kedua, soal sumber ilmu agama dan ketiga, soal sejarah awal Islam.

“Sunni berpandangan khalifah dipilih melalui syura dalam kalangan sahabat dari suku Quraisy, manakala Syiah menegaskan kepimpinan adalah hak mutlak keturunan Nabi melalui Saidina Ali dan Fatimah, dengan Imam yang bersifat maksum dan menjadi ‘hujah Allah di bumi.’

“Selain al-Quran dan hadis, Sunni merujuk kepada salafussoleh termasuk para sahabat secara keseluruhan, sedangkan Syiah hanya mengiktiraf Ahlul Bait sebagai sumber autoriti hadis yang sah, malah menolak riwayat daripada sahabat seperti Saidina Abu Bakr dan Saidatina Aisyah kerana dianggap mengkhianati hak Saidina Ali.

“Sunni mengiktiraf keempat-empat Khulafa’ al-Rasyidin sebagai pemimpin yang sah, sementara Syiah hanya mengakui Saidina Ali dan memandang tiga khalifah sebelumnya sebagai perampas kuasa yang tidak sah.

“Selain itu, Syiah Ithna ‘Asyariyyah mempercayai doktrin ghaybah iaitu Imam Kedua Belas masih hidup dalam keadaan tersembunyi dan akan muncul semula sebagai al-Mahdi, serta mengamalkan doktrin taqiyyah yang membenarkan penyembunyian identiti agama ketika terancam, dan lebih mengutamakan peranan ulama hidup sebagai marja’ al-taqlid (rujukan terutama bagi orang awam) yang wajib diikuti setiap penganut,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Mohamad Razif berkata, justeru soalan yang mengganggu sebahagian kalangan umat Islam adalah: Perlukah kita menyokong Iran sedangkan mereka Syiah?

Beliau berkata, perkara utama yang perlu dijelaskan adalah perbezaan antara isu akidah dan isu kemaslahatan.

Tambahnya, isu akidah menyangkut hubungan seseorang dengan Allah, dan ia adalah urusan antara hamba dengan Tuhannya.
“Persoalan Sunni-Syiah adalah persoalan wasilah (jalan/cara), sedangkan menolak kezaliman adalah persoalan ghayah (matlamat). Maka, matlamat yang lebih tinggi wajar mengatasi perselisihan pada peringkat yang lebih rendah.

“Seorang doktor Muslim bukan sahaja dibenarkan merawat pesakit bukan Muslim, bahkan ia berpahala kerana menyelamatkan nyawa manusia ciptaan Allah.

“Seorang yang bersuara menentang pembunuhan kanak-kanak, orang tua dan wanita tidak berdosa sudah pasti berpahala, kerana dia berdiri bagi pihak keadilan,” ujarnya.

Katanya lagi, terkait persoalan akidah, kita tidak ada kompromi tetapi ini adalah soal nyawa dan maruah umat.

“Maka, tidak ada alasan untuk kita berbeza. Ibn Qayyim al-Jawziyyah sendiri menegaskan bahawa syariat Islam datang untuk mewujudkan keadilan, rahmat, hikmah, dan kemaslahatan di muka bumi.

“Oleh itu, tidak wajar isu perbezaan mazhab akidah menjadi tembok yang menghalang kita daripada berdiri bersama kebenaran,” katanya.

Menurut beliau, menyokong Iran dalam konteks ini tidak bererti menyokong akidah Syiah.

“Kita berdiri menentang pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai, dan hegemoni kuasa besar AS – Israel yang merasa berhak menentukan siapa layak hidup dan siapa tidak. Perbezaan mazhab adalah nyata dan perlu terus didiskusikan dalam ruang ilmu yang sewajarnya. Tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk berdiam diri ketika keadilan diinjak-injak di hadapan mata kita.

“Kesimpulannya, kerjasama adalah sesuatu yang selalu mungkin terutamanya pada isu-isu sepunya. Apabila kita memilih untuk berselisih atas nama mazhab ketika kezaliman sedang berlaku, kita hakikatnya sedang melakukan kerja musuh kita.

“Sedang kita masih bertengkar soal mazhab akidah, para petinggi yang jadong sudah menggerakkan catur-caturnya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini