Beri alasan jaga kebersihan, anggota tentera tembak enam kucing di pusat latihan

Beri alasan jaga kebersihan, anggota tentera tembak enam kucing di pusat latihan

TANGKAP layar video yang menunjukkan kucing mati ditembak di kawasan latihan ketenteraan di Bandung, Indonesia. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDUNG: Satu video yang menunjukkan sejumlah kucing mati akibat ditembak di sekitar kawasan Sekolah Staf dan Komando (Seksko) Tentera Nasional Indonesia (TNI) menjadi tular dalam media sosial.

Kes itu turut mendapat perhatian Panglima TNI, Jeneral Andika Perkasa yang menyifatkannya sebagai perbuatan keji kerana menzalimi haiwan.

Ketua Penerangan dan Pustaka Sesko, Agus Lukman mengesahkan insiden tersebut dan akan melakukan siasatan segera bagi mencari dalangnya.

“Memang benar kejadian itu berlaku di kawasan Sesko. Kes itu bukan palsu dan kami akan segera menyiasat mengapa kucing-kucing itu ditembak.

“Panglima Andika turut mengarahkan supaya kes ini diberi perhatian kerana berlaku di kawasan ketenteraan, kita tidak mahu insiden seperti ini memberi kesan buruk kepada imej tentera,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Terdahulu, sebuah pusat perlindungan haiwan terbiar menerusi Instagram berkongsi satu video menunjukkan kira-kira enam ekor kucing mati dan lima lagi cedera akibat ditembak.

Berdasarkan keterangan video yang ditulis, pusat perlindungan itu memaklumkan, terdapat tiga kucing bunting dan dua lagi cedera parah akibat ditembak.

“Ada juga kesan peluru menembusi kepala kucing yang ditembak. Manusia jenis apakah yang melakukan tindakan seperti ini?

“Harap pihak berkaitan segera mengambil tindakan bagi mengelakkan lebih banyak insiden seperti ini berulang,” jelas video berkenaan.

Dalam pada itu, seorang anggota tentera didakwa menjadi dalang kes tersebut berdasarkan siasatan awal yang dilakukan.

Anggota tentera yang hanya dikenali sebagai NA itu mengakui menembak sejumlah kucing menggunakan senapang angin.

Suspek memberi alasan dia menembak kucing-kucing yang berkeliaran di dalam kawasan pusat latihan tersebut kerana ingin menjaga kebersihan.

Anggota tentera itu juga menafikan dia membenci kucing, sebaliknya tidak mahu haiwan itu mengotori kawasan dengan najis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya