Kemelesetan ekonomi tak jejas jualan kereta mewah - Utusan Malaysia

Kemelesetan ekonomi tak jejas jualan kereta mewah

LAMBORGHINI meneruskan trend positif dengan mencatatkan prestasi enam bulan terbaik dari Januari hingga Jun 2022 dari segi jualan, perolehan dan keuntungan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Syarikat pengeluar kereta mewah tidak terjejas teruk dengan kemelesetan ekonomi apabila mencatatkan permintaan tinggi dan keuntungan separuh tahun yang mengagumkan.

Memetik laporan Daily Mail, Lamborghini merekodkan peningkatan jualan sebanyak lima peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stephan Winkelmann berkata, keuntungan Lamborghini juga melonjak sebanyak 70 peratus secara besar-besaran.

Winkelmann turut mengesahkan syarikatnya sudah mempunyai tempahan mencukupi untuk menampung keseluruhan pengeluaran pada tahun depan, sekali gus bermakna kereta Lamborghini habis dijual sehingga 2024.

Minggu lalu, Lamborghini mengumumkan syarikatnya meneruskan trend positif dengan mencatatkan prestasi enam bulan terbaik dari Januari hingga Jun 2022 dari segi jualan, perolehan dan keuntungan.

Penghantaran kepada pelanggan global meningkat lima peratus kepada 5,090 unit dengan 61 peratus daripadanya adalah SUV Urus.

Perolehan mencecah 1.33 bilion euro (RM6.02 bilion) pada Januari hingga Jun, menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus berbanding enam bulan pertama 2021.

Keuntungan operasi juga menunjukkan kenaikan sebanyak 69.6 peratus, meningkat daripada 251 juta euro (RM1.13 bilion)  kepada 425 juta euro (RM1.92 bilion).

Sementara itu, Ferrari mendedahkan rekod jualan dan keuntungan bagi suku kedua, manakala pembuat kereta mewah Bentley pula melaporkan keputusan kewangan terbaik untuk separuh pertama tahun.

Pengeluar kereta mewah Itali Ferrari berjaya mengatasi unjuran pendapatan dan rekod baharu tempahan pada suku kedua tahun ini, didorong oleh peningkatan permintaan sebanyak 62 peratus di Amerika.

Syarikat itu menghantar sebanyak 3,455 kereta ke seluruh dunia pada suku April hingga Jun, meningkat 29 peratus dengan penghantaran melonjak dua kali ganda di China iaitu 358 unit. 

“Kualiti enam bulan pertama dan keteguhan perniagaan itu membolehkan kami menyemak semula sasaran 2022,” kata ketua eksekutif, Benedetto Vigna. 

Bentley pula mengumumkan keuntungan operasi separuh pertama tahun meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.    

Syarikat itu melaporkan keuntungan operasi bagi enam bulan pertama 2022 iaitu 398 juta euro (RM1.8 bilion), lebih daripada 178 juta euro (RM806 juta) pada tempoh sama tahun lalu dan keuntungan penuh 2021 sebanyak 389 juta euro (RM1.76 bilion).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya