NEW YORK: Kajian mendapati 16 juta golongan pekerja berusia antara 18 hingga 65 tahun menghidap sindrom Covid berpanjangan (Long Covid).
CNN melaporkan, Long Covid yang menyebabkan gabungan simptom muncul selepas berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun selepas positif virus itu menyebabkan empat juta rakyat Amerika Syarikat (AS) tidak dapat bekerja.
Dapatan yang diperoleh The Brookings Institution mendapati mereka menderita pelbagai simptom sehingga menyukarkan untuk bekerja akibat kemurungan, keletihan, kebimbangan melampau dan masalah pernafasan.
Kajian menganggarkan dua hingga empat juta orang tidak bekerja kerana Long Covid bersamaan 1.8 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh awam di AS.
Penemuan itu muncul ketika banyak industri termasuk pendidikan, restoran dan penjagaan kesihatan bergelut masalah kekurangan buruh yang serius sehingga menyumbang kepada inflasi terburuk dalam empat dekad.
Setakat Jun lalu, sebanyak 10.7 juta pekerjaan masih kosong, walaupun dilihat menurun berbanding rekod tertinggi baru-baru ini.
Berdasarkan purata gaji AS sebanyak AS$1,106 (RM4,949) seminggu, Brookings menganggarkan ketiadaan tenaga kerja kerana Long Covid bersamaan kehilangan pendapatan AS$168 bilion (RM751 bilion) setahun.
Jumlah tersebut belum termasuk beban ekonomi akibat Long Covid seperti kos produktiviti serta penjagaan kesihatan.
“Jika pesakit Long Covid belum pulih sepenuhnya dengan kadar lebih tinggi, ia akan menyebabkan beban ekonomi terus meningkat.
“Jika populasi Long Covid meningkat 10 peratus setiap tahun, selepas 10 tahun kos tahunan kehilangan gaji akan berjumlah setengah trilion dolar.
“Kesan ini akan bertambah buruk dari semasa ke semasa jika AS tidak mengambil tindakan dasar yang diperlukan,” kata pengarang kajian.
Susulan itu, kerajaan diseru melaksanakan lima tindakan bagi meringankan beban ekonomi akibat penghidap Covid-19 yang berpanjangan.
Antaranya termasuk pencegahan dan rawatan lebih baik, cuti sakit bergaji, kemudahan di tempat kerja ditambah baik, akses lebih meluas kepada insurans hilang upaya serta pengumpulan data dipertingkatkan.










