16 maut, lori rempuh bas di Russia - Utusan Malaysia

16 maut, lori rempuh bas di Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 16 orang maut dan tiga lagi dikejarkan ke hospital selepas sebuah lori bertembung dengan bas mini di wilayah Ulyanovsk di Russia.

Lapor Al Jazeera, Kementerian Dalam Negeri Ulyanovsk memaklumkan berdasarkan data awal, pemandu kenderaan berat itu gagal mengawal kelajuan lori ketika kejadian.

“Pemandu lori itu tidak memperlahankan kenderaan dan melanggar bas mini yang menunggu dalam barisan.

“Bas mini itu tersepit antara dua lori,” jelas kementerian dalam kenyataan.

Tambahnya, kerja-kerja selenggara jalan raya di tempat kejadian menyebabkan bas mini itu sedang menunggu dalam barisan untuk bergerak.

Rakaman video menunjukkan keadaan bas remuk yang tersepit antara dua lori dan anggota perkhidmatan kecemasan sedang memeriksa kenderaan berkenaan.

Sementara itu, agensi berita TASS melaporkan jawatankuasa penyiasat Russia membuka siasatan jenayah mengenai nahas itu.

Jelas laporan itu, pemandu lori antara individu yang terbunuh dalam nahas tersebut.

“Tiga orang lagi iaitu dua lelaki dan seorang wanita dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal,” jelas Gabenor Ulyanovsk, Alexei Russkikh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN