Tasik Mead tunggu masa untuk ‘hilang’ akibat kemarau

Tasik Mead tunggu masa untuk ‘hilang’ akibat kemarau

KESAN sisa mendapan mineral berwarna putih menunjukkan paras air sebelum ini di Kawasan Rekreasi Tasik Mead dr Boulder City, Nevada. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kolam takungan terbesar di Amerika Syarikat (AS) dilaporkan semakin kering susulan kemarau yang melanda kawasan barat negara itu.

Malah, ketika ini, hanya sebahagian di tasik itu masih dipenuhi air dan selebihnya ‘kering-kontang’.

Seorang penduduk, Adam Dailey memberitahu, sejak dia mula melakukan aktiviti di tasik tersebut dalam tempoh 15 tahun lalu, paras airnya sudah pun surut ratusan meter akibat kemarau selama lebih dua dekad.

Katanya, sejumlah jeti di tasik berkenaan terpaksa ditutup susulan paras air yang semakin surut dan sehingga kini, hanya satu sahaja jeti yang boleh digunakan untuk ‘membawa bot ke atas air’.

“Tasik ini memberikan pelbagai sumber rezeki kepada penduduk di sini, namun dengan keadaan yang berlaku, mungkin semua itu akan akan berakhir tidak lama lagi.

“Memang sedih dengan situasi yang berlaku ketika ini, tetapi kami masih melakukan pelbagai aktiviti dan cuba sedaya upaya untuk menikmatinya,” kata Dailey.

Tasik Mead merupakan kolam takungan terbesar di AS.

Takungan buatan manusia terbesar itu dibina pada tahun 1930-an dengan pembinaan Empangan Hoover.

Kolam takungan yang mempunyai kawasan permukaan seluas 640 kilometer persegi membekalkan air kepada puluhan juta orang dan kebanyakan tanah ladang di barat daya.

Namun, paras air menyusut pada kadar yang mengerikan dan kini hanya mencapai satu perempat penuh.

Perkhidmatan Taman Negara (NPS) yang mengendalikan akses ke tasik dilaporkan membelanjakan lebih AS$40 juta (RM176.35 juta) sejak 2010 bagi memastikan tasik itu dibuka kepada para pelayar.

Jelas NPS, ia menelan belanja kira-kira AS$2 hingga 3 juta (RM8.81 hingga 13.22 juta) untuk menyusun semula tanjakan pelancaran bot setiap kali paras air menurun empat kaki lagi atau 120 sentimeter.

“Penurunan paras air akibat perubahan iklim dan kemarau selama 20 tahun berterusan mengubah semula garis air di takungan itu.

“Ketika Tasik Mead terus susut, usaha memanjangkan tanjakan pelancaran menjadi lebih sukar dan mahal disebabkan topografi dan unjuran penurunan paras air,” jelas laman sesawang NPS.

Beberapa siri tanda NPS menunjukkan garis pantai dikesan di pelbagai bahagian di takungan itu sejak tahun 2001.

Tanda itu menunjukkan tahap pada 2021 adalah 300 langkah dari air.

Beberapa bahan seperti botol, tin, alat pemadam api dan sisa buangan lain ditemukan apabila air mula surut.

Malah, batu-batu di tepi takungan itu menunjukkan gambaran jelas sejauh mana paras air menurun.

Kesan sisa mendapan mineral berwarna putih ditemukan di lereng bukit sekali gus menunjukkan paras air berada pada tahap tinggi selepas banjir melanda pada 1983.

“Kami pernah mengadakan acara perlumbaan ski di sini dan kini kita tidak boleh melakukan demikian kerana air menurun secara drastik,” kata seorang penduduk Jaxkxon Zacher.

Sementara itu, beberapa pakar klimatologi berkata, kemarau di kawasan barat AS, digabung dengan pemanasan global akibat perbuatan manusia sedang mengubah rantau tersebut.

“Suhu yang lebih tinggi bermakna kurang lembapan berlaku semasa salji di Pergunungan Rocky.

“Situasi itu menyebabkan salji cair dengan lebih cepat,” jelasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN