LONDON: Suhu di Britain melebihi 40 darjah Celcius buat pertama kali sejak Selasa lalu dan melepasi rekod suhu di beberapa kawasan lain.
Fenomena itu berlaku susulan gelombang haba luar biasa yang mencetuskan kebakaran hutan di Eropah Barat.
Jabatan Meteorologi United Kingdom (UK) merekodkan suhu 40.3 darjah Celcius di Coningsby, timur England dan sebanyak 34 lokasi di Britain melepasi 38.7 darjah Celcius yang pernah dicatatkan di Cambridge pada 2019.
Beberapa pakar berpandangan peningkatan suhu itu berpunca akibat perubahan iklim dan memberi amaran situasi lebih buruk akan berlaku.
Ketua Pertubuhan Meteorologi Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Petteri Taalas, berkata, gelombang haba kini semakin kerap dan pola itu diramal berterusan sehingga tahun 2060, bergantung kejayaan menangani isu iklim.
“Pada masa depan, gelombang haba seperti ini akan menjadi suatu kebiasaan dengan suhu ekstrem yang lebih tinggi,” katanya.
Suhu tinggi itu mencetuskan beberapa amaran yang julung kali berlaku di England, dengan beberapa laluan kereta api dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekolah ditutup di beberapa kawasan.
Selain itu, ramai pengguna terkandas akibat operasi semua kereta api dari stesen King Cross di London dihentikan, susulan kebimbangan berlaku risiko kegelinciran akibat permukaan jalan dan rel kereta api mula mencair.
Menteri Pengangkutan, Grant Shapps mengaku kebanyakan infrastruktur Britain tidak dibina untuk bertahan dengan suhu seperti ini.
Di Perancis, 64 kawasan berbeza merekodkan suhu tertinggi Isnin lalu, di sepanjang pantai barat Atlantik dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Datuk Bandar La Teste-de-Buch, Patrick Davet berkata, situasi tersebut sangat menyayat hati dan menjadi sangat sukar kerana kawasan ini adalah sebuah bandar pelancongan.
Gelombang haba itu turut menyebabkan kebakaran hutan di Perancis, Greece, Portugal dan Sepanyol.-AFP