Sri Lanka isytihar darurat - Utusan Malaysia

Sri Lanka isytihar darurat

PENUNJUK perasaan menyertai protes antikerajaan di luar pejabat Perdana Menteri Sri Lanka di Colombo. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Sri Lanka yang dilanda krisis mengisytiharkan darurat di seluruh negara, beberapa jam selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan.

“Memandangkan presiden meninggalkan negara, perintah darurat diisytiharkan bagi menangani kemelut dihadapi dalam negara,” kata jurucakap perdana menteri, Dinouk Colombage.

Menurut polis, pihaknya juga mengenakan perintah berkurung tanpa had di seluruh Wilayah Barat termasuk ibu negara Colombo bagi membendung pergolakan yang semakin meruncing setelah Rajapaksa meninggalkan negara. 

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di pejabat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe sehingga mendorong polis melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang mereka daripada menyerbu bangunan.

Penunjuk perasaan menuntut Wickremesinghe berundur bersama dengan Rajapaksa yang berjanji berbuat demikian.

* PEMANGKU PRESIDEN 

Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena memaklumkan Wickremesinghe dilantik sebagai pemangku presiden. 

“Memandangkan Rajapaksa tiada di negara, beliau memberitahu saya bahawa beliau sudah melantik perdana menteri sebagai pemangku presiden selaras dengan Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan di televisyen.

* LARI KE MALDIVES 

Cubaan Rajapaksa untuk melarikan diri ke Dubai bagi `menjalani kehidupan baharu’, gagal selepas imigresen enggan mengecap pasport pemimpin berkenaan.

Akhirnya, Rajapaksa melarikan diri ke Maldives lebih awal tanpa membuat pengumuman rasmi mengenai peletakan jawatannya.

Sebelum ini, Rajapaksa berjanji meletak jawatan pada 13 Julai bagi membuka jalan untuk `peralihan kuasa secara aman’.

Pemimpin itu meninggalkan kediaman rasminya di Colombo sejurus sebelum puluhan ribu penunjuk perasaan menyerbu bangunan tersebut.

Sebagai presiden, Rajapaksa memiliki imuniti daripada penahanan dan beliau dipercayai mahu ke luar negara sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditahan.

Menurut sumber imigresen, Rajapaksa, isteri dan seorang pengawal peribadinya merupakan antara empat penumpang dalam pesawat tentera Antonov-32 yang berlepas dari lapangan terbang antarabangsa negara itu menuju ke Maldives.             

“Pasport mereka dicop dan mereka menaiki penerbangan khas tentera udara,” kata seorang pegawai imigresen yang terlibat dalam proses itu.

Sumber kerajaan dan individu yang rapat dengan Rajapaksa memaklumkan pemimpin itu berada di Male, ibu negara Maldives.

Jelas sumber itu, Rajapaksa kemungkinan besar akan melakukan perjalanan ke negara Asia lain dari sana.

Rajapaksa tidak dilihat di khalayak ramai sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun, sumber rapat dengan Rajapaksa pula memberitahu beliau dijangka menghantar surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Pelepasan pemimpin berusia 73 tahun itu yang pernah dikenali sebagai `The Terminator’ dihalang lebih 24 jam dalam pertengkaran dengan kakitangan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di Sri Lanka.   

Rajapaksa ingin terbang ke Dubai dengan penerbangan komersial  namun kakitangan di lapangan terbang itu menarik diri daripada bertugas di perkhidmatan VIP dan menegaskan semua penumpang perlu melalui kaunter biasa.

Hal itu disebabkan banyak pegawai kerajaan ‘berasa malu’ dengan sikap ditunjukkan Rajapaksa ketika rakyat dan negaranya bergolak.

Seorang pegawai keselamatan, Rajapaksa enggan melalui ruangan biasa kerana bimbang reaksi orang ramai dan akibatnya terlepas empat penerbangan pada Isnin yang mungkin membawa mereka ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jelasnya, pelepasan untuk pesawat tentera mendarat di negara berhampiran India itu, tidak diperolehi serta-merta dan kumpulan itu menuju ke pangkalan tentera laut dengan tujuan untuk melarikan diri menerusi laluan laut pada Selasa lalu.

* TERLEPAS PENERBANGAN

Adik bongsu kepada Rajapaksa, Basil yang meletak jawatan sebagai menteri kewangan pada April, dilaporkan terlepas penerbangan Emirates ke Dubai pada Selasa lalu selepas perselisihan faham dengan kakitangan lapangan terbang.

Basil yang mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS) selain Sri Lanka, dikatakan cuba menggunakan perkhidmatan concierge berbayar untuk pengembara perniagaan namun kakitangan lapangan terbang dan imigresen bertindak menarik diri daripada bertugas di perkhidmatan laluan pantas.

“Terdapat beberapa penumpang lain yang membantah Basil menaiki penerbangan mereka.

“Ketika itu, keadaan menjadi tegang, jadi dia tergesa-gesa meninggalkan lapangan terbang,” kata seorang pegawai lapangan terbang kepada AFP

Menurut sumber diplomatik, Basil terpaksa mendapatkan pasport baharu AS selepas meninggalkannya di istana presiden apabila Rajapaksa berundur secara tergesa-gesa untuk mengelakkan rusuhan pada Sabtu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya