KYIV: Russia mendakwa pasukan tenteranya berjaya menguasai sepenuhnya wilayah Luhansk di timur Ukraine selepas memperoleh kawalan ke atas beberapa penempatan di bandar Lysychansk.
Lapor Al Jazeera, menurut Kementerian Pertahanan dalam kenyataan Menterinya, Sergei Shoigu memaklumkan kepada Presiden Vladimir Putin bahawa Luhansk `sudah dibebaskan’.
Sebelum ini, Russia berkata, pasukan tenteranya juga menawan beberapa perkampungan sekitar Lysychansk dan mengepung bandar tersebut.
Tentera Ukraine mengesahkan pasukan tenteranya terpaksa berundur dari bandar Lysychansk.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky juga mengakui pengunduran tentera negara itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perjuangan masih berterusan di kawasan pinggir bandar.
Zelensky turut berjanji untuk merampas semula bandar itu dengan bantuan penggunaan senjata lebih canggih.
Sebelum ini dilaporkan bandar di timur Ukraine, Lysychansk menjadi rebutan antara pasukan tentera negara Ukraine dengan Russia apabila kedua-duanya saling mendakwa mereka berjaya menguasai bandar tersebut.
Lapor BBC, Ukraine memaklumkan pasukan tenteranya memberikan saingan hebat kepada tentera negara itu menyebabkan bandar itu tidak dapat dikuasai Moscow.
Namun, pasukan pemisah yang menyokong Kremlin memberitahu, mereka berjaya memasukan bandar berkenaan dan menguasai pusatnya.
Media menunjukkan kumpulan pemisah pro-Russia memenuhi jalan di sekitar Lysychansk.
Sejumlah sumber juga menyatakan bendera Russia dikibarkan di pusat pentadbiran bandar tersebut yang ketika ini sudah musnah dibedil.
Namun, sumber berkenaan tidak dapat disahkan.