KUALA LUMPUR: Pekerja gig kini berada di bawah perlindungan undang-undang apabila kerajaan mewajibkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi semua pendapatan platform digital.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan pekerja gig diiktiraf sebagai tenaga kerja penting dalam ekonomi baharu negara.
Katanya, setakat ini, caruman diwajibkan pada kadar 1.25 peratus daripada pendapatan pekerja gig, tanpa sebarang caj tambahan ke atas syarikat penyedia platform.
“Hakikatnya, tiada sebarang caj tambahan dikenakan ke atas syarikat gig, segala kos untuk menghubungkan sistem syarikat kepada Perkeso bagi tujuan caruman akan ditanggung Perkeso.
“Caruman juga tidak terhad kepada pekerja e-hailing dan p-hailing semata-mata, kerana semua pekerja gig dalam semua sektor yang menggunakan sistem platform digital adalah tertakluk kepada kewajiban mencarum,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan juga sedang mengkaji kemungkinan memperluaskan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau skim seumpamanya bagi pekerja gig.
“Buat masa ini sememangnya SIP belum diperluaskan kepada pekerja gig, namun saya mengarahkan Perkeso untuk mengkaji kebolehlaksanaan skim ini atau skim seumpamanya untuk pekerja gig,” katanya. – UTUSAN










