WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan cip paling maju keluaran syarikat gergasi kecerdasan buatan Nvidia (NVDA.O) hanya dikhaskan untuk syarikat-syarikat AS dan tidak akan membenarkan China serta negara lain mendapatkannya.
Dalam temu bual rakaman yang disiarkan program CBS 60 Minutes pada Ahad serta kenyataan kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One, Trump berkata, hanya pelanggan AS patut diberi akses kepada cip Blackwell paling canggih yang ditawarkan Nvidia, syarikat paling bernilai di dunia berdasarkan modal pasaran itu.
“Kita tidak akan membiarkan sesiapa memilikinya selain AS. Kita tidak memberi cip Blackwell itu kepada orang lain,” katanya kepada CBS, mengulangi kenyataan yang dibuat sebelum itu kepada pemberita ketika pulang ke Washington dari Florida.
Kenyataan itu menunjukkan Trump mungkin mengenakan sekatan lebih ketat terhadap cip AI AS yang termaju berbanding yang dijangka sebelum ini, dengan China dan berkemungkinan negara-negara lain disekat daripada mengakses semikonduktor tercanggih tersebut.
Pada Julai, pentadbiran Trump mengeluarkan pelan baharu AI yang bertujuan melonggarkan peraturan alam sekitar dan memperluas eksport kepada sekutu bagi mengekalkan kelebihan AS terhadap China dalam teknologi kritikal ini.
Jumaat lalu, Nvidia berkata, pihaknya akan membekalkan lebih 260,000 cip AI Blackwell kepada Korea Selatan dan beberapa syarikat terbesar negara itu, termasuk Samsung Electronics (005930.KS).
Persoalan juga timbul sama ada Trump akan membenarkan penghantaran versi cip Blackwell yang diubahsuai ke China, selepas beliau pada Ogos mencadangkan kemungkinan membenarkan jualan sedemikian.
Trump berkata, beliau tidak akan membenarkan cip Blackwell paling canggih dijual kepada syarikat China, tetapi tidak menolak kemungkinan mereka mendapat versi yang kurang berkuasa.
“Kita akan benarkan mereka berurusan dengan Nvidia tetapi bukan untuk teknologi paling maju,” katanya semasa temu bual tersebut.
Kemungkinan jualan mana-mana versi cip Blackwell kepada firma China menerima kritikan daripada tokoh anti-China di Washington, yang bimbang teknologi itu akan meningkatkan keupayaan ketenteraan Beijing dan mempercepatkan pembangunan AI negara itu.
Ahli Kongres Republikan, John Moolenaar berkata, langkah sebegitu seumpama memberi uranium gred senjata kepada Iran.
Trump sebelum ini memberi bayangan beliau mungkin membincangkan isu cip tersebut dengan Presiden China, Xi Jinping sebelum sidang kemuncak mereka di Korea Selatan minggu lalu, namun berkata, topik itu tidak dibincangkan.
Nvidia belum memohon lesen eksport AS untuk pasaran China kerana pendirian Beijing terhadap syarikat itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Jensen Huang minggu lalu.
“Mereka jelas menunjukkan mereka tidak mahu Nvidia berada di sana sekarang,” katanya dalam satu acara pembangun, sambil menambah syarikat itu memerlukan akses ke China bagi membiayai penyelidikan dan pembangunan di AS.










