KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghadapi gelombang ‘Tsunami Emas’ apabila 15.3 peratus penduduk dijangka berumur 60 tahun ke atas menjelang 2030.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, perkara itu disokong dengan penyediaan pelbagai inisiatif bagi mengekalkan warga emas dalam pasaran buruh.
Katanya, setakat 30 September 2025, seramai 310,100 pencarum warga emas masih aktif mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
“Rekod Portal MYFutureJobs Perkeso mencatatkan dari tempoh Januari hingga 10 Oktober 2025, sebanyak 378 penempatan pekerjaan telah ditawarkan kepada warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas.
“Kita juga ada melaksanakan Program Daya Kerjaya 2.0 membabitkan penempatan pekerjaan bagi kumpulan sasar dalam kalangan golongan mudah terjejas mendapatkan pekerjaan dan gaji dengan nilai yang lebih tinggi.
“Insentif khas ini adalah sebanyak RM1,500 sebulan selama 6 bulan untuk majikan yang mengambil pekerja daripada kumpulan sasar ini,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










