MIDPINES: Puluhan juta rakyat Amerika Syarikat (AS) terpaksa dipindahkan susulan tragedi kebakaran yang semakin buruk hingga menyebabkan ribuan hektar Hutan Oak dijilat api berhampiran Mariposa di California.
Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CAL FIRE) berkata, lebih 5,750 hektar hutan terbakar berikutan gelombang haba dan tahap kelembapan yang rendah sehingga menghalang usaha mengawal kebakaran sejak dua hari lalu.
Jelasnya, lebih 2,000 anggota bomba dengan 17 helikopter dikerahkan memadam kebakaran Hutan Oak yang meletus sejak Jumaat lalu, berhampiran Taman Negara Yosemite.
“Kemarau yang melampau membawa kepada tahap kelembapan bahan api yang kritikal,” lapor CAL FIRE.
Kebakaran yang disifatkan seperti ‘bahan letupan’ itu meninggalkan abu, memusnahkan harta benda dan mengancam ribuan penduduk lain.
ISYTIHAR DARURAT
Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di Mariposa County berikutan situasi bahaya yang melampau terhadap keselamatan dan harta benda orang ramai.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, California dan bahagian lain di barat Amerika Syarikat (AS) musnah akibat kebakaran hutan yang merebak pantas serta didorong kemarau dan iklim yang semakin panas sejak bertahun-tahun.
Krisis itu mendorong Bekas Naib Presiden, Al Gore mengeluarkan amaran keras terhadap penggubal undang-undang AS.
“Ini adalah satu kecemasan global. Ia akan menjadi lebih teruk.
“Krisis ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada ahli Kongres AS yang enggan menerima usaha untuk memerangi perubahan iklim,” katanya.
LEBIH 37 CELCIUS
Dalam pada itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memaklumkan cuaca panas melampau diramalkan sedikit berkurangan di wilayah tengah dan timur laut AS.
“Panas yang membara akan berterusan merentasi Atlantik Tengah dan timur laut malam ini, sebelum berkurangan sedikit di Kanada,” katanya.
Bagaimanapun, tidak semua kawasan dijangka mengalami penurunan suhu kerana suhu lebih 37 darjah Celcius diramalkan merentasi bahagian timur Kansas, Oklahoma, selatan Missouri dan utara Arkansas.
Suhu panas di barat laut Pasifik diramalkan terus meningkat secara berterusan dalam beberapa hari akan datang.
Bandar-bandar di kawasan itu diarah membuka stesen penyejukan dan meningkatkan perlindungan kepada komuniti berisiko seperti gelandangan dan individu yang tidak mempunyai akses penghawa dingin.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, merata-rata kawasan di dunia dilanda gelombang haba melampau seperti di Eropah Barat Julai lalu dan India, Mac hingga April akibat perubahan iklim. -AFP










