NEW YORK: Golongan lelaki berusia 20 hingga 40-an di sini beratur panjang bagi mendapatkan suntikan vaksin cacar monyet bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Pusat vaksinasi yang terletak di sebuah sekolah tinggi di Bushwick, Brooklyn kelihatan sama seperti tempat vaksinasi Covid-19 sebelum ini.
Pada Jumaat lalu, sebanyak 9,200 slot dibuka untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin tersebut dan semua tempat habis ditempah dalam masa tujuh minit.
Tiga hari sebelum itu, laman web vaksinasi cacar monyet dikunjungi trafik tinggi sehingga menyebabkan laman web itu tergendala.
New York menunjukkan trend peningkatan penularan wabak cacar monyet sejak beberapa minggu lalu dengan 461 kes direkodkan pada JUmaat lalu.
Penularan di bandar ini bermula sejak Mei lalu.
Seorang penduduk, Robert memberitahu, dia menghabiskan masa selama beberapa jam menunggu di depan komputer untuk menempah slot vaksin.
“Hal ini sepatutnya tidak menjadi masalah kerana kita ada bekalan vaksin dan ada permintaan.
“Sepatutnya kerajaan menyediakan kemudahan vaksin yang lebih meluas untuk memudahkan masyarakat,” katanya.
Ketika ini, vaksin Jynneos yang digunakan untuk mengekang penularan cacar monyet diberikan kepada golongan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis memandangkan mereka paling banyak dijangkiti. – AFP