COLOMBO: Gotabaya Rajapaksa akhirnya meletakkan jawatan sebagai Presiden Sri Lanka selepas melarikan diri ke Singapura, susulan protes besar-besaran berhubung pemerintahannya.
Rajapaksa dipercayai mahu meninggalkan Sri Lanka sebelum berundur bagi mengelak kemungkinan ditangkap menerusi pentadbiran baharu.
Di ibu negara Colombo, penunjuk perasaan bersorak gembira menyambut berita pengunduran presiden itu dengan tarian.
Viraga Perera berkata, sebagai rakyat dia berasa sangat lega kerana dapat kembali kepada kehidupan asal.
“Pada peringkat ini, kami sangat letih dengan huru-hara yang berlaku. Kami anggap detik ini cukup besar meraikan sebuah kemenangan,” katanya.
Semalam, Rajapaksa meninggalkan Maldives dengan menaiki pesawat penerbangan Saudia Airlines ke Singapura.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang pegawai lapangan terbang, sehari selepas pemimpin itu meninggalkan Sri Lanka.
Menurut pegawai itu, Rajapaksa, isterinya, Ioma dan dua pengawal peribadi mereka diiringi ke pesawat beberapa minit sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana di Male.
Kementerian Luar Singapura memaklumkan Rajapaksa tidak meminta suaka ataupun diberikan suaka oleh negara itu.-BBC