Presiden Sri Lanka benarkan rakyat anjur protes  - Utusan Malaysia

Presiden Sri Lanka benarkan rakyat anjur protes 

PETUGAS kesihatan memegang sepanduk dan melaungkan slogan menentang Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe semasa protes di Colombo. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe membenarkan rakyat mengadakan protes terhadap kerajaan pimpinannya dengan syarat tanpa sebarang kekerasan.  

Pejabat presiden dalam kenyataan memaklumkan protes juga boleh diadakan di ibu negara Colombo. 

Wickremesinghe menegaskan semula komitmen Sri Lanka untuk menegakkan hak rakyat berhimpun secara aman tanpa kekerasan.

“Para diplomat juga diberi taklimat mengenai langkah diambil untuk memastikan protes tanpa kekerasan dibenarkan dalam bandar tanpa membahayakan harta benda atau nyawa,” jelas kenyataan itu.

Serbuan Jumaat lalu menyaksikan ratusan anggota keselamatan merobohkan khemah yang dipasang di kem protes antikerajaan di luar pejabat sekretariat presiden.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan tindakan keras yang lebih meluas oleh Wickremesinghe yang mengangkat sumpah jawatan tertinggi itu sehari sebelumnya.

Malah, serbuan itu turut mendapat kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomat Barat yang menggesa kerajaan pimpinan Wickremesinghe untuk mengelak daripada melakukan kekerasan.

Jelas agensi antarabangsa, tindakan kekerasan hanya boleh menjejaskan lagi kestabilan negara yang sudah mengalami krisis kewangan paling buruk sejak tujuh dekad lalu.

Wickremesinghe dipilih sebagai Presiden Sri Lanka berikutan kemenangannya dalam undi Parlimen bagi menggantikan Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke luar negara dan meletakkan jawatan selepas protes besar-besaran diadakan akibat salah urus ekonomi.   

Negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu mengalami kekurangan makanan, bahan api dan keperluan lain kerana kehabisan mata wang asing untuk membiayai import paling penting.  

Sementara itu, sekumpulan hak asasi yang mendokumentasikan dakwaan penindasan di Sri Lanka memfailkan aduan jenayah kepada Peguam Negara Singapura. 

Aduan tersebut difailkan bagi memohon penahanan Rajapaksa atas peranannya dalam perang saudara selama beberapa dekad di negara Asia Selatan itu.

Menurut Projek Kebenaran dan Keadilan Antarabangsa (ITJP), Rajapaksa melakukan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Geneva semasa perang saudara pada 2009 ketika beliau memegang jawatan sebagai ketua pertahanan negara itu. 

ITJP menegaskan berdasarkan bidang kuasa sejagat, dakwaan penindasan itu tertakluk kepada pendakwaan di Singapura yang mana beliau melarikan diri selepas pergolakan beberapa bulan membabitkan krisis ekonomi negaranya. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.