Pesawat kargo Ukraine terhempas, terbakar di Greece

Pesawat kargo Ukraine terhempas, terbakar di Greece

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATHENS: Sebuah pesawat kargo Antonov An-12 terhempas dan terbakar kelmarin berhampiran Paleochori Kavalas di utara Greece.

Menurut beberapa saksi, mereka turut terdengar bunyi letupan ketika kapal terbang itu terhempas.

Seorang penduduk, Giorgos Archontopoulos memberitahu stesen penyiaran tempatan, ERT bahawa dia menyedari sesuatu yang buruk bakal berlaku selepas terdengar bunyi enjin pesawat itu.

“Pada pukul 22.45 malam, saya dikejutkan dengan bunyi enjin pesawat terbabit sebelum keluar dari rumah dan melihat enjin kapal terbang itu terbakar,” katanya.

Menurut pegawai tempatan, sebanyak tujuh jentera bomba dan penyelamat dikejarkan ke lokasi kejadian, namun mereka tidak dapat mendekati lokasi nahas berikutan kebakaran dan letupan kecil masih berlaku.

Media tempatan melaporkan, pesawat kargo itu dalam perjalanan dari Serbia ke Jordan dan sudah meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan kecemasan berhampiran Lapangan Terbang Kavala.

ERT melaporkan, pesawat itu milik Ukraine dan pihak berkuasa Serbia mengesahkan kesemua lapan penumpang yang menaiki pesawat itu terkorban.

Terdahulu, pihak berkuasa tidak dapat memastikan bilangan penumpang yang menaiki pesawat berkenaan ketika kejadian berlaku.

Namun, berdasarkan maklumat awal, pesawat itu membawa bahan kargo yang disifatkan ‘berbahaya’.

Polis di lokasi kejadian turut meminta petugas media memakai pelitup muka sebagai perlindungan.

“Anda perlu beredar untuk keselamatan anda. Ada maklumat yang memaklumkan pesawat itu membawa amunisi,” kata seorang anggota bomba di lokasi nahas.

Sementara itu, Datuk Bandar Paggaio, Filippos Anastasiadis memberitahu media bahawa pesawat itu terhempas kira-kira dua kilometer dari kawasan penempatan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN