ARAFAH: Sejuta jemaah haji bergerak kembali ke Mina melalui Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir ibadah haji selepas berkumpul dan mendengar khutbah di Arafah.
Beberapa minit selepas matahari terbenam, jemaah mula bergerak ke dataran terbuka Muzdalifah yang berbatu bagi menunaikan solat Maghrib dan Isyak.
Lapor Saudi Gazette, jemaah juga mengutip batu kerikil untuk ibadah merejam syaitan di Jamrah al-Aqabah semalam, iaitu hari pertama Aidiladha dan hari ke-10 Zulhijjah.
Tiga hari berikutnya iaitu Ahad, Isnin dan Selasa adalah hari Tasyriq, menyaksikan jemaah melontar tujuh batu di setiap jamrah kecil, sederhana dan besar.
Pergerakan jemaah ke Muzdalifah berjalan lancar apabila semua bas yang membawa rombongan jemaah diiringi ambulans, manakala rondaan keselamatan mengawal jarak kenderaan bagi memastikan aliran trafik lancar.
Terdapat juga jemaah yang berjalan kaki melalui laluan yang disediakan sepanjang 25 kilometer yang menghubungkan Arafah dengan Mina melalui Muzdalifah.
Di sebalik kelancaran ibadah haji kali ini, protokol kesihatan masih dijaga berikutan ancaman Covid-19 yang masih serius.
Arab Saudi sehingga kini komited memastikan keselamatan para jemaah, termasuk mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan mereka.