Israel tambah penerbangan ke Asia jika boleh guna ruang udara Arab Saudi - Utusan Malaysia

Israel tambah penerbangan ke Asia jika boleh guna ruang udara Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Syarikat penerbangan Israel merancang untuk membuka lebih banyak laluan penerbangan baharu ke India dan destinasi-lain di seluruh Asia setelah Arab Saudi membuka ruang udaranya kepada semua syarikat penerbangan.

Riyadh pada Jumaat lalu menyatakan ruang udaranya akan dibuka kepada semua syarikat penerbangan, sekali gus membolehkan syarikat penerbangan Israel untuk melakukan penerbangan secara langsung ke negara itu yang sebelum ini hanya diperuntukkan sebuah koridor bagi penerbangan ke destinasi-destinasi di Teluk seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedua-dua syarikat penerbangan Israel, El Al Israel Airlines dan pesaingnya yang lebih kecil iaitu Arkia sudah membuat permohonan kebenaran untuk melakukan penerbangan di ruang udara Arab Saudi, dan sekiranya dibenarkan ia boleh mengurangkan masa penerbangan sekitar dua setengah jam bagi penerbangan ke India dan Thailand.

Buat masa ini, laluan penerbangan ke destinasi-destinasi tersebut yang popular dalam kalangan rakyat Israel dilakukan dengan melalui Laut Merah di sekitar Yeman.

Perjalanan lebih pantas ke destinasi tujuan secara langsung juga bermakna ia akan mengurangkan pembakaran bahan api. Ini sekali gus akan meningkatkan kecekapan El Al dengan membolehkannya untuk menggunakan pesawat lebih kecil bagi penerbangan ke Mumbai sambil menjimatkan bahan api bagi penerbangan harian ke Thailand.

“Kami boleh menggunakan pesawat besar dan menggunakannya untuk melakukan penerbangan ke tempat lain seperti Australia dan Jepun,” ujarnya jurucakap El Al Israel Airlines ambil menambah bahawa ia sedang merancang penerbangan ke Melbourne dan Tokyo dan melancarkan penerbangan itu akan mengambil masa.

Dalam pada itu, Arkia turut mendedahkan bahawa ia merancang untuk melancarkan penerbangan ke Goa, India pada November dan  mempertimbangkan destinasi baharu seperti Thailand dan Sri Lanka menggunakan pesawat Airbus A321neoLR.

Menteri Pelancongan Israel Yoel Razbozov memberitahu Army Radio bahawa penerbangan yang melalui Arab Saudi mungkin akan bermula dalam masa beberapa minggu akan datang’ setelah isu logistik diselesaikan dan ini akan membuat tiket penerbangan sekitar 20 peratus lebih murah. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN