JAKARTA: Indonesia meraih tempat kedua sebagai negara terbaik untuk golongan ekspatriat di dunia berdasarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Expat Insider 2022 di bawah kelolaan InterNations yang berpangkalan di Munich, Jerman.
Berdasarkan laporan itu, Mexico merupakan negara terbaik untuk ekspatriat, sekali gus mengetepikan Taiwan yang menyandang kedudukan itu pada tahun lalu.
Dalam laporan Expat Insider 2021, Indonesia berada di tangga 31.
“Senarai ini dibuat berdasarkan pilihan dan penilaian ekspatriat berdasarkan kemudahan tempat tinggal dan kewangan mereka,” jelas laporan itu.
Sejak 2014, InterNations sering melalukan kaji selidik Expat Insider secara tahunan dengan pada tahun ini, seramai 11,970 ekspatriat terlibat sebagai responden.
Kesemua mewakili 177 kerakyatan meliputi 181 negara dengan kaji selidik itu dilakukan dari 1 hingga 28 Februari 2022 menerusi media sosial.
Responden pula meliputi semua golongan ekspatriat, termasuk ahli perniagaan multinasional sehingga golongan profesional.
Kaji selidik yang dilakukan meneliti 56 tanda aras bagi menentukan negara terbaik untuk golongan tersebut.
Antara tanda aras itu termasuk pengalaman mereka, kewangan, kemudahan tempat tinggal, pembiayaan sewa kediaman, kos sara hidup dan pasangan warga tempatan.
Tahun ini, Mexico menjadi negara terbaik untuk ekspatriat berikutan penduduknya yang ramah, kemudahan pelbagai keperluan dan kaya dengan budaya.
Indonesia pula berjaya mengalahkan negara maju lain seperti Australia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura.
“Hampir dua per tiga responden menyatakan pendapatan isi rumah mereka mencukupi untuk menjalani kehidupan yang selesa di Indonesia,” menurut InterNations.
10 negara terbaik untuk ekspatriat:
- Mexico
- Indonesia
- Taiwan
- Portugal
- Sepanyol
- UAE
- Vietnam
- Thailand
- Australia
- Singapura