BEIRUT: Amerika Syarikat (AS) mengemukakan cadangan kepada kerajaan Lubnan yang mengandungi rancangan untuk melucutkan senjata Hezbollah menjelang akhir tahun ini termasuk menghentikan operasi ketenteraan Israel di wilayah negara itu.
Menurut agenda mesyuarat Kabinet Lubnan yang dilaporkan Reuters, penarikan tentera Israel akan dimulakan secara berperingkat dari lima lokasi di selatan Lubnan.
Rancangan yang dikemukakan utusan serantau Presiden AS, Donald Trump, Tom Barrack itu dilaporkan menggariskan langkah paling terperinci setakat ini untuk mengurangkan pengaruh kumpulan Hezbollah yang semakin ditekan masyarakat antarabangsa dan rakyat Lubnan sendiri untuk melucutkan senjata selepas perang dengan Israel tahun lalu.
Selepas mesyuarat Kabinet pada Khamis, Menteri Penerangan Lubnan, Paul Morcos mengesahkan kerajaan sudah meluluskan matlamat utama dalam cadangan AS itu, tetapi tidak membincangkan keseluruhan isi kandungannya.
“Kami tidak menyentuh secara mendalam tentang perincian atau komponennya. Perbincangan dan keputusan kami hanya tertumpu pada objektifnya,” kata Morcos.
Antara matlamat yang digariskan termasuk menghapuskan ancaman kumpulan bersenjata bukan kerajaan seperti Hezbollah serta penempatan semula pasukan keselamatan Lubnan di kawasan strategik di sekitar sempadan.
Selain pengunduran tentera Israel dari lima lokasi yang diduduki di selatan Lubnan, penyelesaian isu tahanan melalui rundingan tidak langsung dan persempadanan muktamad Lubnan dengan Israel serta Syria turut dibahaskan.
Jabatan Negara AS tidak memberi sebarang maklum balas segera ketika diminta mengulas.
Pejabat Perdana Menteri Israel turut enggan memberi komen, manakala Kementerian Pertahanan Israel masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung laporan tersebut
Pihak Hezbollah juga belum memberikan maklum balas rasmi berhubung isu tersebut.
Namun tiga sumber politik memaklumkan, barisan para menteri daripada Hezbollah serta wakil bersekutu Syiah bertindak keluar daripada sesi Kabinet sebagai tanda bantahan terhadap perbincangan tersebut.
Rancangan empat fasa
Mengikut dokumen itu, fasa pertama memerlukan kerajaan Lubnan mengeluarkan dekri rasmi dalam tempoh 15 hari untuk berikrar melucutkan sepenuhnya senjata Hezbollah selewat-lewatnya pada 31 Disember 2025.
Pada masa yang sama, Israel dikehendaki menghentikan semua operasi ketenteraan melalui darat, udara dan laut.
Fasa kedua yang akan bermula dalam tempoh 60 hari, menggesa kerajaan Lubnan melaksanakan program pelucutan senjata, termasuk pelan penempatan tentera Lubnan bagi mengambil alih kawalan ke atas semua senjata di bawah kuasa kerajaan.
Israel pula akan diarah memulakan pengunduran dari beberapa lokasi selatan dan membebaskan tahanan Lubnan dengan kerjasama Palang Merah Antarabangsa.
Fasa ketiga yang disasar bermula 90 hari selepas pelaksanaan rancangan tersebut bakal menyaksikan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari dua lokasi terakhir yang masih diduduki.
Ia juga merangkumi kerja-kerja pembersihan runtuhan dan pembaikan infrastruktur sebagai persediaan untuk pembinaan semula pascakonflik.
Dalam fasa keempat menjelang hari ke-120, pemusnahan semua senjata berat yang masih dimiliki Hezbollah, termasuk sistem peluru berpandu dan dron akan dilaksanakan.
Dalam fasa ini juga, satu persidangan ekonomi antarabangsa akan dilancarkan, dengan kerjasama AS, Arab Saudi, Perancis, Qatar dan sekutu lain.
Persidangan itu bertujuan untuk menghidupkan semula ekonomi Lubnan yang lama merudum, serta melaksanakan apa yang digelar dalam dokumen itu sebagai ‘visi Presiden Trump untuk mengembalikan Lubnan sebagai negara yang makmur dan berdaya tahan’.
Gencatan senjata rapuh
Rancangan AS ini dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan yang dimeterai pada November lalu, susulan konflik hebat antara pasukan Israel dan Hezbollah.
“Keperluan mendesak terhadap cadangan ini dipacu oleh peningkatan aduan berkenaan pelanggaran gencatan senjata oleh Israel, termasuk serangan udara dan operasi rentas sempadan yang berisiko meruntuhkan status quo yang sangat rapuh ini,” menurut isi kandungan dokumen itu.
Serangan besar-besaran Israel tahun lalu menyebabkan kerugian besar ke atas Hezbollah, selepas kumpulan itu melancarkan serangan merentasi sempadan pada Oktober 2023 sebagai sokongan kepada Hamas sewaktu tercetusnya perang di Gaza.
Konflik tersebut dengan pantas meningkat menjadi pertelingkahan paling sengit antara Israel dan Hezbollah sejak perang 2006.
Setakat ini, kerajaan Lubnan masih mengambil pendekatan berhati-hati, hanya menyokong matlamat umum cadangan tersebut tanpa memberi persetujuan terhadap garis masa atau mekanisme pelaksanaannya.
Lewat malam Khamis, ratusan penyokong Hezbollah turun ke jalan raya di kawasan selatan Beirut bagi membantah keputusan kerajaan membincangkan cadangan tersebut, menurut jurugambar AFP.
Media Lubnan turut menyiarkan rakaman tunjuk perasaan serupa di beberapa kawasan lain dalam negara yang berada di bawah pengaruh Hezbollah, sementara pasukan tentera dikerahkan untuk mengawal keadaan.










