JAKARTA: Sekurang-kurangnya sembilan mayat ditemukan selepas sebuah feri karam akibat cuaca buruk di luar pesisir sebuah pulau di Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan oleh pegawai agensi mencari dan menyelamat (SAR) Ternate dalam satu kenyataan.
KM Cahaya Arafah terbalik di perairan berhampiran Pulau Ternate, pada petang Isnin.
Kejadian itu mendorong operasi SAR bagi mencari 13 mangsa yang dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan itu, pasukan penyelamat menemukan empat mayat pada petang semalam dan lima lagi pada hari keempat operasi SAR dijalankan.
Jelasnya, empat lagi mangsa masih hilang.
Feri itu membawa seramai 77 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan ke pulau Halmahera.
Seramai 64 mangsa yang terselamat dipindahkan ke perkampungan Tokaka, berhampiran lokasi tragedi bot karam.
“Penduduk kampung juga membantu operasi SAR ini dengan menggunakan bot sendiri mereka untuk mencari mangsa yang hilang,” jelas kenyataan itu. – AFP










