China tak kongsi maklumat lebih awal - Utusan Malaysia

China tak kongsi maklumat lebih awal

ROKET Long March 5B yang membawa modul kedua untuk stesen angkasa Tiangong, berlepas dari Tapak Pelancaran Wenchang di Hainan, China. - AFP    
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendakwa China tidak berkongsi maklumat berhubung serpihan roket milik negara itu yang terhempas ke bumi di Lautan Hindi.

Menurut NASA, Beijing tidak menyalurkan `maklumat mengenai trajektori khusus’ yang diperlukan untuk mengetahui lokasi kemungkinan serpihan itu bakal jatuh.

Angkatan Angkasa Amerika Syarikat memaklumkan roket Long March 5B memasuki semula Lautan Hindi kira-kira pukul 12.45 tengah hari (waktu tempatan).        

Namun, agensi itu seolah-olah menuding jari kepada China apabila ditanya soalan berhubung aspek teknikal seperti lokasi bagi mengesan kemungkinan serpihan roket itu bertebaran. 

Pentadbir NASA, Bill Nelson berkata, semua negara peneroka angkasa perlu mematuhi amalan terbaik yang ditetapkan dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berkongsi maklumat tersebut lebih awal.

“Langkah itu bagi membolehkan ramalan yang boleh dipercayai dibuat mengenai potensi risiko impak serpihan tersebut. 

“Malah, langkah itu penting bagi memastikan penggunaan ruang udara yang bertanggungjawab dan keselamatan penduduk di bumi tidak diabaikan,” katanya.

Terdahulu, ramai pengguna media sosial di Malaysia memuat naik video kejadian yang kelihatan seperti serpihan roket jatuh.

Aerospace Corporation, pusat penyelidikan dibiayai kerajaan yang berpangkalan berhampiran Los Angeles, menyifatkan tindakan membenarkan keseluruhan bahagian teras utama roket itu untuk kembali ke bumi tanpa kawalan adalah suatu perbuatan melulu.       

Baru-baru ini, beberapa penganalisis berkata, bahagian badan roket itu akan hancur ketika ia menjunam melalui atmosfera, namun saiznya yang cukup besar mampu menyelamatkan banyak serpihan sehingga menimpa kawasan sepanjang kira-kira 2,000 kilometer dan selebar 70km.   

Minggu lalu, China berkata, pihaknya akan menjejaki serpihan itu dengan teliti, namun turut memaklumkan wujudnya risiko kepada sesiapa sahaja berada di permukaan bumi. 

Roket Long March 5B dilancarkan pada 24 Julai lalu bagi menghantar modul makmal ke stesen angkasa lepas China yang baharu dalam pembinaan di orbit, sekali gus menyaksikan penerbangan ketiga roket paling berkuasa China sejak pelancaran sulungnya pada 2020.

Serpihan sebuah lagi roket Long March 5B yang mendarat di Ivory Coast pada 2020, menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan di negara Afrika Barat, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Nelson memaklumkan AS dan kebanyakan negara peneroka angkasa lepas yang lain kebiasaannya memperuntukkan banyak perbelanjaan untuk mereka bentuk roket bagi mengelakkan kemasukan semula yang besar serta tanpa kawalan.

Ia selepas kejadian sebahagian serpihan besar stesen angkasa NASA Skylab jatuh dari orbit pada tahun 1979 dan terhempas di Australia. – REUTERS  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya