AS gesa China kutuk Russia, Moscow tingkat serangan di Ukraine - Utusan Malaysia

AS gesa China kutuk Russia, Moscow tingkat serangan di Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Pasukan tentera Ukraine bertempur habis-habisan untuk mengekang kemaraan agresif tentera Russia di beberapa kawasan utama.

Gesaan Amerika Syarikat (AS) supaya China menyokong Barat dalam menentang pencerobohan di Ukraine dan tekanan pemimpin negara anggota G20 terhadap Russia mendorong peningkatan serangan itu.

Serangan peluru berpandu di bandar timur laut Kharkiv mengakibatkan tiga orang awam cedera, kata gabenornya, walaupun serangan utama Russia kelihatan tertumpu di tenggara Lugansk dan Donetsk.

Kedua-dua wilayah itu, yang sebahagian daripadanya dikuasai pemisah pro-Russia sebelum konflik tercetus pada Februari lalu, merangkumi kawasan perindustrian timur Donbas.

Pegawai Ukraine melaporkan serangan di kedua-dua lokasi itu diperhebatkan sejak semalam, manakala Kementerian Pertahanan Britain berkata Moscow sedang mengumpulkan pasukan simpanan dari seluruh Russia berhampiran Ukraine.

Gabenor wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko, dalam mesejnya menerusi Telegram, berkata peluru berpandu Russia membedil Druzhkivka, iaitu sebuah bandar di belakang barisan hadapan dan serangan di pusat penduduk lain turut dilaporkan.

Gabenor Lugansk, Serhiy Gaidai, memberitahu di Telegram bahawa tentera Russia ‘menembak seluruh barisan hadapan’.

Bagaimanapun, serangan balas Ukraine yang berjaya memusnahkan depoh senjata dan peluru memaksa tentera Russia menghentikan serangan.

Russia yang mendakwa menguasai seluruh wilayah Lugansk hujung minggu lalu, menafikan tenteranya menyasarkan orang awam dalam siri serangan terbaharu itu.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, semalam menggesa masyarakat antarabangsa bergabung tenaga untuk mengutuk pencerobohan Russia.

Beliau memberitahu media, kebimbangannya itu sudah disampaikan kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi, terutama mengenai kedudukan Beijing berhubung Moscow.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan selama lima jam di luar perhimpunan G20 yang menghimpunkan Menteri Luar negara anggota di pulau Bali, Indonesia.

Kementerian Luar China berkata, Wang dan Blinken membincangkan ‘isu Ukraine’ tanpa memberi perincian lanjut.

Ia juga memetik Wang sebagai berkata, hubungan China-AS berada dalam bahaya untuk terus ‘tersasar’ dengan ramai orang percaya ‘AS sedang mengalami serangan ‘Chinaphobia’ yang semakin serius’.

Sejurus sebelum pencerobohan Russia, Beijing dan Moscow mengumumkan kerjasama ‘tanpa had’ walaupun pegawai AS berkata mereka tidak melihat China mengelak sekatan yang diketuai negara itu ke atas Russia atau membekalkan peralatan ketenteraan.

Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memecat beberapa dutanya ke Jerman, India, Republik Czech, Norway dan Hungary.

Dalam watikah dipaparkan di laman sesawang rasmi Presiden Ukraine, tiada alasan diberikan bagi pemecatan itu dan pada masa sama, menggesa diplomat di negara lain meraih lebih banyak sokongan antarabangsa dan perolehan senjata bagi mengekang kemaraan tentera Russia. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.