RIYADH: Seramai sejuta jemaah dari seluruh dunia termasuk 850,000 dari luar negara berkumpul bagi menunaikan haji sekali gus mencatatkan sebagai pelaksanaan ibadah terbesar selepas pandemik Covid-19.
Jemaah yang lengkap berpakaian ihram mula memenuhi sekitar jalan di Mekah yang merupakan bandar paling suci bagi umat Islam.
Selepas dua tahun jemaah luar tidak dapat menunaikan haji akibat virus Covid-19, kali ini mereka diraikan dengan sambutan luar biasa.
Sepanduk kelihatan dipasang menyambut kedatangan dengan kawalan ketat anggota keselamatan yang menjaga bandar kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad.
Sehingga kini, dilaporkan 650,000 jemaah sudah tiba di Arab Saudi bagi melaksanakan rukun haji.
Tanah suci itu dikunjungi sejuta jemaah yang sudah divaksin berusia bawah 65 tahun serta menjalani peraturan yang ketat.
Pada 2019, hampir 2.5 juta jemaah menunaikan Rukun Islam kelima termasuk mengelilingi Kabah, wukuf di Gunung Arafah dan melontar jamrah di Mina.
Tahun berikutnya, jemaah dari luar negara tidak dibenarkan masuk dan ibadah haji hanya terhad kepada 60,000 individu yang sudah divaksin melibatkan penduduk tempatan.
KEMUNCAK PENGORBANAN
Pelitup muka sudah tidak diwajibkan di kebanyakan tempat di Arab Saudi, namun masih diwajibkan di Masjidilharam.
Jemaah dari negara luar juga perlu menghantar bukti ujian calitan PCR negatif.
Difahamkan, Masjidilharam dibersihkan sebanyak 10 hari sekali dengan 130,000 liter pembasmi kuman yang dilakukan lebih 4,000 petugas lelaki dan wanita.
Selain risiko penularan Covid-19, cabaran lain yang perlu ditempuh adalah pancaran terik matahari yang semakin melampau akibat kesan perubahan iklim.
Ini kerana, kota Mekah adalah antara kawasan terpanas dan kering di dunia.
Namun, bagi jemaah haji dari Iraq, Ahmed Abdul Hasaan al-Fatlawi berkata, cuaca hanya perkara terakhir yang difikirkannya semasa berada di sini.
“Saya sudah berusia 60 tahun dan adalah normal kalau saya keletihan akibat cuaca panas.
“Apa yang penting bagi saya adalah berada dalam keadaan tenang,” katanya.
Seorang jemaah Sudan, Abdel Qader Kheder meluahkan rasa terujanya ketika ditemui pemberita.
“Saya bagaikan tidak percaya sudah berada di sini dan saya sangat gembira untuk menikmati setiap saat di sini,” luahnya.-AFP











