RIO DE JANEIRO: Polis Brazil memaklumkan seorang daripada dua suspek mengaku menembak wartawan Britain, Dom Philips dan pakar peribumi, Bruno Pereira yang hilang sejak hampir dua minggu lalu.
Lapor BBC, menurut detektif Eduardo Fontes, suspek bernama Amarildo da Costa de Oliveira atau dikenali sebagai ‘Pelado’ membawa pasukan penyiasat ke sebuah tapak dan menemukan sisa mayat.
Fontes berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti identiti mayat berkenaan.
Fontes berkata, suspek pertama, Amarildo ‘menceritakan secara terperinci’ jenayah yang dilakukan dan menunjukkan tempat dia mengebumikan mayat.
Bagaimanapun, suspek kedua menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu.
Tambah Fontes, polis akan melakukan penangkapan lagi dan motif pembunuhan masih disiasat.
Phillips, 57, penyumbang tetap akhbar The Guardian dan Pereira, 41, pakar Orang Asli, dilaporkan hilang di kawasan terpencil di hutan hujan Amazon sejak 5 Jun lalu.
Dua suspek iaitu adik beradik Amarildo dan Oseney da Costa de Oliveira ditahan berhubung kes itu.










