Rakyat AS boleh bawa senjata api dalam khalayak ramai

Rakyat AS boleh bawa senjata api dalam khalayak ramai

PENUNJUK perasaan memegang sepanduk yang tertulis jumlah mangsa terkorban dalam beberapa insiden tembakan dalam protes di New York, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan undang-undang New York yang menyekat hak membawa senjata api dalam khalayak ramai.

Sebaliknya, mahkamah memutuskan bahawa rakyat negara ini mempunyai hak untuk membawa senjata api dalam khalayak umum, biarpun banyak pihak menggesa kerajaan mengambil pendekatan serius berikutan semakin banyak insiden melibatkan senjata api.

Dianggarkan suku rakyat AS ‘terjejas’ sekiranya sekatan hak senjata api diubah.

Mahkamah mendapati, undang-undang New York yang meminta mana-mana pihak supaya mempunyai alasan atau sebab yang munasabah untuk membawa senjata api di khalayak umum sebagai ‘mencabuli Perlembagaan AS’.

Hakim Clarence Thomas menulis keputusan mewakili enam hakim konservatif yang membentuk majoriti mahkamah, memutuskan rakyat di negara ini masih boleh membawa senjata api di khalayak ramai untuk pertahanan diri.

Namun, terdapat tiga hakim menolak keputusan tersebut.

Keputusan mahkamah itu juga secara tidak langsung memberi laluan kepada mana-mana pihak untuk mencabar undang-undang bagi sekatan serupa di Maryland, California, New Jersey, Hawaii dan Massachusetts.

Keputusan itu dibuat ketika pelbagai pihak berdebat mengenai penggunaan dan fungsi senjata api dalam komuniti di negara ini susulan tragedi tembakan di sekolah rendah di Uvalde, Texas yang meragut 21 nyawa termasuk 19 murid pada bulan lalu.

BIDEN KECEWA

Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden menzahirkan kekecewaan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah yang disifatkannya ‘bercanggah dengan logik akal dan Perlembagaan, selain menyusahkan semua pihak’.

“Kita perlu menyumbang lebih sebagai masyarakat bagi melindungi rakyat kita. Oleh hal yang demikian, saya menyeru kepada semua rakyat AS untuk menyampaikan suara mereka mengenai keselamatan senjata api,” katanya.

Selain itu, Datuk Bandar New York, Eric Adams memaklumkan beliau akan meneliti kaedah lain untuk menyekat akses penggunaan senjata api, termasuk mengetatkan permohonan untuk proses pembelian.

“Kita tidak boleh biarkan masyarakat di New York ‘gila’ dengan senjata api,” tegasnya.

Kekecewaan turut dizahirkan oleh Gabenor New York, Kathy Hochul yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai ‘hari paling gelap dalam sejarah negara ini’ dan berikrar untuk mencari kaedah lain bagi menyekat penggunaan senjata api.

Gabenor California, Gavin Newsom pula menyifatkan keputusan itu sebagai ‘memalukan’.

Sementara itu, keputusan tersebut disambut positif oleh Persatuan Senapang Kebangsaan (NRA).

Lebih 390 juta senjata api dimiliki oleh rakyat AS dengan tahun 2020, lebih 45,000 rakyat negara ini maut akibat penggunaan senjata api termasuk kes bunuh atau bunuh diri.

RUU KAWALAN SENJATA API

Dewan Senat dijangka meluluskan rang undang-undang pertama melibatkan kawalan senjata api dalam tempoh hampir tiga dekad.

Antara kandungan yang termaktub dalam rang undang-undang itu termasuk meluaskan pemeriksaan latar belakang bakal pembeli senjata api berusia bawah 21 tahun dan menawarkan pembiayaan kepada negeri yang mempunyai program kecemasan untuk merampas senjata daripada individu yang dianggap berbahaya oleh hakim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya