Mahkamah Agung AS batalkan hak gugur kandungan

Mahkamah Agung AS batalkan hak gugur kandungan

PESERTA protes berhimpun membantah larangan pengguguran anak oleh Mahkamah Agungdi Denver, Colorado.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang melarang pengguguran anak disifatkan sebagai tindakan terbaik dicapai oleh negara itu. 

Ini kerana, bukan agama Islam sahaja yang melarang perbuatan tersebut tanpa sebab, bahkan agama lain juga membantah melainkan terdapat isu kesihatan yang memaksa golongan wanita menggugurkan kandungan. 

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat bantahan sehingga protes dilancarkan lebih 50 bandar di AS, walaupun segelintir yang lain menyokong sepenuhnya keputusan mahkamah.  

Kebanyakan klinik pula dilihat sudah mula ditutup di beberapa negeri selepas Mahkamah Agung menarik balik hak yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai kebenaran menggugurkan kandungan oleh golongan wanita. 

Kira-kira separuh dari negeri AS dijangka menguatkuasakan sekatan dan larangan baharu selepas mahkamah membatalkan keputusan Roe v Wade, 50 tahun lalu.  

Sebanyak 13 negeri sudah mengharamkan pengguguran anak serta-merta. 

Presiden Joe Biden menyifatkan keputusan itu sebagai ‘kesilapan tragis’.

Jelasnya, ia akan merisikokan nyawa dan kesihatan wanita.

“Ini adalah ideologi ekstrem dan kesilapan tragis oleh Mahkamah Agung,” katanya. 

Keputusan mahkamah itu menunjukkan kira-kira 36 juta wanita yang mempunyai umur reproduktif kehilangan akses menggugurkan anak di negeri mereka. 

Angka itu berdasarkan penyelidikan dari Planned Parenthood iaitu sebuah organisasi penjagaan kesihatan yang menyediakan perkhidmatan itu. 

Walaupun isu ini memecahbelahkan rakyat AS, tinjauan Pew mendapati 61 peratus dewasa mengatakan pengguguran anak adalah sah, manakala, 37 peratus mengatakan ia menyalahi undang-undang. 

KLINIK DITUTUP

Antara negeri yang melarang pengguguran anak ialah Kentucky, Louisiana, Arkansas, South Dakota, Missouri, Oklahoma, Alabama, Mississippi, North Dakota, Wyoming, Utah, Idaho, Texas dan Tennessee. 

Arkansas antara sebuah negeri yang mencetuskan undang-undang mengenakan larangan pengguguran anak serta-merta. 

Di sebuah klinik di Litte Rock negeri itu, pintu ditutup sebaik sahaja keputusan mahkamah disiarkan dalam talian dan tangisan dapat didengari sejurus itu. 

Kakitangan klinik terpaksa menghubungi pelanggan yang sudah membuat janji temu dan membatalkan pengguguran mereka.

Jururawat, Ashli Hunt berkata, amat sukar baginya menghubungi pesakit bagi memaklumkan berita buruk tersebut. 

Di New Orleans, Louisiana, Pusat Penjagaan Kesihatan Wanita yang menyediakan perkhidmatan pengguguran anak ditutup dan kakitangannya terpaksa pulang ke rumah. 

Di luar klinik itu, sukarelawan Linda Kocher berkata, golongan wanita kaya masih boleh menggugurkan anak di negeri lain, tetapi wanita miskin akan memilih prosedur haram menjalani rawatan itu. 

RAKYAT LAIN SOKONG

Sementara itu, peserta protes antipengguguran anak meraikan larangan tersebut. 

“Cadangan saya supaya anda balik dan meninggalkan tempat penuh dosa ini, tempat jahat dan penuh ketidakadilan,” jerit seorang penunjuk perasaan di luar sebuah klinik.  

Paderi Bill Shanks pula menyifatkan ia adalah ‘hari perayaan’ yang menentang keras pengguguran anak. 

Di San Antonio, Texas, peguam bela antipengguguran, Tere Harding berkata, dia berusaha mewujudkan pelan keselamatan sekiranya protes menyasarkan pusat kehamilan yang dikendalikannya di pinggir bandar. 

“Setiap nyawa manusia perlu dilindungi. Ini menunjukkan kita mengakui kemanusiaan insan yang belum dilahirkan,” katanya. 

KES TERDAHULU 

Kes mahkamah Roe v Wade 1973 menyaksikan Mahkamah Agung memutuskan undian tujuh berbalas dua mengenai hak wanita menggugurkan anak dilindungi oleh Perlembagaan AS. 

Keputusan itu memberi wanita AS hak mutlak menggugurkan kandungan semasa tiga bulan pertama kehamilan. 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya