LONDON: Krisis bekalan makanan yang dijangka semakin meningkat ketika ini berupaya menjadi ancaman kesihatan kepada dunia, sama seperti pandemik Covid-19.
Pengarah Eksekutif Dana Global untuk Memerangi AIDS, Tuberkulosis dan Malaria, Peter Sands menegaskan kenaikan harga bekalan makanan dan tenaga, sebahagiannya dicetuskan oleh perang di Ukraine, mampu membunuh jutaan penduduk secara langsung dan tidak langsung.
Dalam satu wawancara bersama Reuters, Sands menerangkan masalah kekurangan bekalan makanan berlaku dalam dua situasi.
“Pertama membabitkan tragedi yang mana penduduk mengalami kebuluran sehingga maut.
“Namun, situasi kedua adalah sebilangan besar orang dengan jumlah yang tinggi mengalami kekurangan zat makanan sekaligus menjadikan mereka lebih terdedah kepada penyakit sedia ada,” katanya.
Jelas beliau, usaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan pandemik tidak seharusnya membuat kesilapan `biasa’ dengan hanya bimbang mengenai krisis yang menyerupai ancaman terbaharu yang dihadapi dunia.
“Ia tidak ditakrifkan dengan baik seperti beberapa patogen baharu yang muncul dengan gejala baharu yang tersendiri.
“Namun, ia juga boleh membawa maut,” katanya.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 15 juta orang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.
Menurut Sands, pelaburan diperlukan untuk mengukuhkan sistem kesihatan dalam usaha membantu menangani kesan masalah kekurangan bekalan makanan.
Untuk itu, katanya, pertubuhan itu menyasarkan untuk mengumpul lebih AS$18 bilion (RM79.08 bilion) bagi memperkasakan sistem kesihatan, melawan tiga penyakit utama dalam agendanya dan langkah pembaikan semula akibat pandemik Covid-19.
Jelas beliau, pertubuhan itu meningkatkan lebih satu pertiga daripada sasarannya bagi tempoh 2024-2026.
* LARANGAN EKSPORT BUKAN PENYELESAIAN
Profesor dari Jabatan Kajian Pembangunan Thomas D Cabot di Universiti Harvard, Peter Timmer berpandangan larangan eksport bukan penyelesaian kepada masalah kekurangan bekalan makanan.
Katanya, banyak negara panik ketika berhadapan krisis global itu.
“China mengharamkan eksport bahan kimia pertanian, Indonesia pula mengenakan larangan eksport minyak sawit manakala India menghentikan eksport gandum.
“Amerika Syarikat (AS) memperluaskan komitmennya terhadap etanol berasaskan jagung, meningkatkan jumlah dalam bekalan petrol untuk mengurangkan kos pemanduan.
“Jagung itu mungkin boleh digunakan untuk makanan sebagai membantu menggantikan masalah kekurangan gandum,” katanya.
Katanya, walaupun banyak masalah dasar dan struktur bersifat jangka panjang menyumbang kepada krisis itu, keperluan mendesak ketika ini adalah memberi tumpuan untuk memperbaiki situasi jangka pendek.
* KRISIS LEBIH LUAS
Menurut Timmer, krisis berlaku ketika ini adalah lebih meluas melibatkan bahan api, baja dan makanan terutamanya gandum dan minyak sayuran.
Pada masa sama, katanya, krisis berkenaan juga semakin meruncing.
“Kesemua komoditi ini mengalami inventori rendah, pengeluaran terhad dan rantaian bekalan yang terganggu.
“Bukan mudah untuk menghentikan krisis ini apatah lagi kembali kepada corak perdagangan lebih normal.
“Penyelarasan antara ekonomi terkemuka dunia diperlukan untuk mencapai kemajuan,” katanya. – REUTERS/AGENSI










