BANDUNG: Ahli keluarga Emmeril Kahn Mumtadz, 23, yang hilang ketika berenang di Sungai Aare, Bern, Switzerland berserah pada ketentuan takdir terhadap nasib lelaki itu.
Mangsa yang merupakan anak sulung Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil dihanyutkan air sungai yang deras sejak Khamis lalu, lapor CNN Indonesia.
Kakak mangsa, Erwin Muniruzaman berkata, ahli keluarga di Bandung sudah bertemu ulama bagi mengikuti langkah seterusnya yang patut dilakukan bersesuaian syariat Islam.
Katanya, usaha pencarian tidak pernah putus dan pasukan penyelamat masih bersemangat mencari adiknya.
“Pencarian hari ini sudah selesai, kemudian dilanjutkan hari berikutnya. Dari pihak keluarga kami sudah ikhlas apapun yang akan terjadi nanti kami serahkan pada takdir,” katanya.
Maklumat dari Kedutaan Besar Republik Indonesia di Switzerland memaklumkan pencarian belum membuahkan hasil sejak Isnin lalu.
Menurut Ridwan, penduduk setempat memberikan bantuan sangat cepat ketika anaknya hilang dengan menghubungi pihak polis.










