Anak Gabenor Jawa Barat hanyut di sungai Switzerland - Utusan Malaysia

Anak Gabenor Jawa Barat hanyut di sungai Switzerland

EMMERIL KAHN MUMTADZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kedutaan Besar Indonesia di Switzerland memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak lelaki Gabenor Jawa Barat, iaitu Emmeril Kahn Mumtadz atau lebih mesra disapa Eril yang hilang di Sungai Aare sejak Khamis lalu masih diteruskan hingga kini.

Menurut pejabat kedutaan, operasi SAR akan ditumpukan di kawasan berhampiran pintu air Schwellenmaetelli dan Engehalde.

Hal ini kerana, berdasarkan beberapa maklumat, kali terakhir Eril dilihat di antara dua pintu air tersebut.

“Sehingga kini, anak lelaki Ridwan Kamil, iaitu Eril masih belum ditemukan dan operasi SAR giat dijalankan dari semasa ke semasa.

“Operasi SAR kali ini akan menumpukan kawasan di dua pintu air yang menurut saksi, Eril dilihat berada di kawasan itu sebelum hilang,” jelas kenyataan kedutaan seperti yang dipetik CNN Indonesia.

Selain itu, pejabat kedutaan turut memaklumkan operasi SAR selepas ini akan menggunakan alat pengesan yang mampu mengesan objek sehingga kedalaman tiga meter.

Beberapa pasukan keselamatan termasuk polis, polis maritim dan bomba turut terlibat dalam operasi tersebut.

Terdahulu, Duta Besar Indonesia ke Switzerland, Muliaman Hadad memaklumkan, Eril hanyut dibawa arus ketika berenang di sungai tersebut yang airnya bersuhu 16 darjah Celsius.

Ketika kejadian, Eril sempat menjerit meminta tolong dan beberapa orang yang berada di lokasi kejadian cuba membantunya, namun gagal akibat arus deras.

Eril bersama keluarganya berada di negara itu bagi mencari pusat pendidikan bagi menyambung pengajiannya.

Sementara itu, Ridwan dan keluarganya memohon semua pihak mendoakan supaya Eril dapat ditemukan dalam keadaan selamat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus melakukan operasi SAR dalam usaha mencari Eril.

“Kami berharap Eril dapat ditemukan segera dan selamat,” kata Ridwan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya