Lelaki tidak mengaku cederakan ‘suami baharu’ isteri - Utusan Malaysia

Lelaki tidak mengaku cederakan ‘suami baharu’ isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang baru dibebaskan daripada penjara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mencederakan suami baharu kepada isterinya menggunakan spanar, minggu lalu.

Tertuduh, Adam Muhammad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Sani, 30, yang bekerja sebagai tukang urut yang boleh menyebabkan kematian jika senjata itu digunakan secara salah di sebuah premis dalam pusat beli-belah di Dang Wangi di sini pada pukul 8.15 malam, 10 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Vivien Yeap Jie Xi tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan menerima banyak jahitan.

“Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh membawa masuk spanar ke tempat kerja mangsa sebelum tertuduh melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Adam yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jaminan dibenarkan kerana dia baru sahaja keluar penjara.

“Sebelum ini saya telah dipenjara selama setahun, tetapi isteri saya telah berkahwin dengan lelaki itu (mangsa) tanpa saya menceraikannya,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan kes pada 14 Mei ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN