Kadar inflasi cecah 40 peratus, Sri Lanka terus 'sesak nafas'

Kadar inflasi cecah 40 peratus, Sri Lanka terus ‘sesak nafas’

SEORANG peniaga menyusun barang jualan di gerainya di pasar di Colombo, Sri Lanka. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Kadar inflasi di Sri Lanka direkodkan meningkat sehingga 40 peratus pada bulan lalu dan dijangka tidak akan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Keadaan itu menyaksikan masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api terus memuncak dan rakyat terpaksa menanggung sengsara.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Banci dan Statistik Sri Lanka, Indeks Harga Pengguna Colombo meningkat 39.1 untuk Mei lalu, iaitu meningkat dari 29.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Situasi itu menyebabkan kadar inflasi makanan melonjak 57.4 peratus, bertambah dari 46.6 peratus pada April.

Pakar ekonomi Sri Lanka, Murtaza Jafferjee berkata, inflasi negara ini tidak pernah direkodkan setinggi ini dan semuanya ‘berpunca sejak Presiden Gotabaya Rajapaksa mentadbir pada 2019’.

Dalam perkembangan berkaitan, Sri Lanka dijangka memohon pinjaman sebanyak AS$3 bilion (RM13.2 bilion) daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi kemudahan dana lanjutan (EFF) milik tabung berkenaan.

EFF merupakan pelan bantuan ke-17 yang memerlukan negara pemohon melakukan perubahan struktur ekonominya bagi menyelesaikan krisis yang dihadapi.

Program itu berlangsung selama tiga tahun dengan tempoh penangguhan selama empat setengah tahun sebelum bayaran  balik dibuat sebaik sahaja pelan berkenaan diluluskan.

Sekiranya diluluskan, jumlah pinjaman AS$3 bilion itu merangkumi hampir empat kali ganda kuota negara ini dengan IMF.

Menurut sumber, perbincangan mengenai pinjaman itu kini berjalan antara wakil kerajaan Sri Lanka dengan IMF.

Kerajaan Colombo juga dijangka mengadakan rundingan teknikal dengan IMF dalam tempoh terdekat dan berharap dapat mencapai kata putus menjelang hujung bulan ini.

Namun, jurucakap IMF enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, termasuk Kementerian Kewangan Sri Lanka dan bank pusat negara ini.

Sri Lanka sebelum ini dilaporkan membuat permohonan berkenaan untuk menangani krisis ekonomi terburuk yang dihadapi oleh negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.

Berikutan krisis yang berlaku, Colombo gagal menjelaskan hutang luar negaranya pada awal tahun ini, selain bergelut membayar import barangan asas seperti bahan api dan ubat-ubatan untuk keperluan rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe merancang membentangkan bajet interim dalam masa terdekat. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya