Hukuman mati dikenakan junta Myanmar seperti jenayah perang - Utusan Malaysia

Hukuman mati dikenakan junta Myanmar seperti jenayah perang

AKTIVIS demokrasi, Kyaw Min Yu (kiri) dan bekas anggota parti NLD, Phyo Zeya Thaw bakal menjalani hukuman mati yang dilaksanakan junta tentera Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Rancangan junta Myanmar untuk menghukum mati semua penentang politik boleh menjadi jenayah perang atau jenayah kemanusiaan, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.

Junta pada 3 Jun lalu mengumukan mereka bakal melaksanakan hukuman mati terhadap bekas ahli Parlimen daripada parti pimpinan Aung San Suu Kyi dan seorang aktivis demokrasi terkemuka.

Jurucakap junta, Zaw Min Tun, berkata kedua-duanya disabitkan kesalahan keganasan dan ia adalah hukuman mati pertama yang diputuskan di bawah undang-undang di negara itu sejak 1990.

“Empat individu, termasuk bekas Ahli Parlimen, Maung Kyaw, juga dikenali sebagai Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi, Kyaw Min Yu, juga dikenali sebagai Ko Jimmy, yang dijatuhi hukuman mati akan dihukum gantung mengikut prosedur penjara,” katanya.

Ketua Mekanisme Penyiasatan Bebas PBB untuk Myanmar, Nicholas Koumjian, berkata beliau mengikuti kes itu dengan teliti, walaupun ia dijalankan secara tertutup.

“Maklumat yang ada menunjukkan, di bawah undang-undang antarabangsa, hak asasi orang yang disabitkan kesalahan dicabuli secara terang-terangan dalam prosiding ini.

“Keputusan menjatuhkan hukuman mati atau pun tempoh tahanan, berdasarkan prosiding yang tidak memenuhi keperluan asas perbicaraan yang adil, boleh membentuk satu atau lebih jenayah terhadap kemanusiaan atau jenayah perang,” katanya.

Junta menjatuhkan hukuman mati kepada puluhan aktivis anti rampasan kuasa sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pembangkang, selepas merampas kuasa pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Myanmar sudah tidak melaksanakan hukuman mati selama beberapa dekad.

Koumjian berkata, untuk sesuatu perbicaraan itu dianggap adil, ia mesti diadakan secara terbuka.

“Pengecualian berdasarkan keselamatan negara atau pertimbangan lain mesti dihadkan setakat mana ia adalah wajar.

“Bagaimanapun, dalam kes ini, nampaknya tiada prosiding awam dan penghakiman mahkamah juga tidak didedahkan kepada umum,” ujarnya.”

Tambah beliau, tindakan itu menimbulkan keraguan sama ada tribunal itu tidak berat sebelah dan berfungsi secara bebas.

Mekanisme PBB untuk Myanmar ditubuhkan majlis hak asasi manusia PBB pada 2018, yang ditugaskan mengumpul bukti jenayah antarabangsa dan pencabulan hak asasi manusia di negara itu serta merekodkannya dengan tujuan untuk memudahkan prosiding jenayah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya