PETALING JAYA: Walaupun operasi khas ketenteraan Russia di Ukraine belum berkesudahan, namun sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan sejak 12 Jun 1992 bakal berjalan seperti biasa di Red Square, Moscow.
Duta Besar Russia di Malaysia, Naiyl M. Latypov berkata, sambutan yang dinamakan sebagai Hari Russia itu merupakan upacara memperingati kedaulatan negara Persekutuan Russia yang menjadi sebuah negara berdaulat pada tarikh tersebut yang turut diisytiharkan sebagai cuti umum.
“Sudah 30 tahun Hari Russia disambut dengan pelbagai acara diaturkan seperti istiadat pengurniaan pingat, bintang dan darjah kebesaran negara.
“Presiden Russia, Vladimir Putin dijangka menyampaikan anugerah tersebut kepada semua penerima.
“Red Square bukan sekadar berfungsi sebagai pusat pentadbiran tetapi sebagai pusat kebudaayaan yang menjadi tumpuan ramai bagi menyaksikan hari bersejarah,” katanya ketika ditemuramah wartawan Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Latypov, pelbagai perarakan akan memeriahkan suasana di Red Square serta diserikan dengan percikan bunga api dan penganjuran konsert yang disertai artis ternama.
Jelasnya, sambutan yang meriah akan turut disambut di pejabat kedutaan di negara ini.
“Kedutaan kami juga akan menjemput perwakilan asing, rakyat Russia yang berada di negara ini serta jemputan khas lain,” katanya.
Russia merupakan negara terbesar di dunia dan semenjak ditubuhkan pada 1991, Persekutuan Rusia diakui sebagai pewaris sah kepada Kesatuan Soviet di mata dunia.