TEXAS: Seramai dua mangsa insiden tembakan rambang di Sekolah Rendah Robb di bandar ini dikebumikan di pekan kecil Uvalde.
Jenazah melibatkan dua mangsa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun iaitu Amerie Jo Garza dan Maite Rodriguez.
Ratusan penduduk menghadiri upacara pengebumian melibatkan seramai 19 kanak-kanak dan dua guru yang menjadi mangsa serangan, 24 Mei lalu.
Enam pengusung keranda memakai baju putih dan sarung tangan ketika membawa jenazah ke dalam Gereja Katolik.
Erika Santiago bersama suami dan dua anak yang lain memakai baju berwarna ungu yang dihiasi imej mangsa tembakan, Amerie.
Wanita itu berkata, Amerie adalah seorang gadis kecil yang baik dan banyak tersenyum.
“Dia juga sangat merendah diri, berkarisma dan menceriakan kehidupan orang lain,” katanya menahan sebak.
Santioga memberitahu anak lelakinya yang berusia 10 tahun, Adriel, melihat imej pertama yang muncul dalam berita yang merupakan rakannya sendiri.
“Insiden itu memberi kesan mendalam kepadanya sampai dia cakap tak nak pergi ke sekolah sebab bimbang kejadian sama akan berulang.
“Dia merasakan sekolah itu tidak lagi selamat,” katanya.
Sementara itu, seramai 11 mangsa lain termasuk seorang guru, Irma Garcia dijangka dikebumikan minggu ini.-AGENSI