LONDON: Wartawan dari negara Pasifik yang membuat liputan lawatan Menteri Luar China, Wang Yi ke rantau itu mendakwa mereka dihalang daripada merakam mahupun mengakses majlis dihadiri pemimpin tersebut.
Malah, wartawan berkenaan juga tidak dibenarkan untuk mengemukakan sebarang soalan kepada Wang Yi.
Dakwaan tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan akhbar dan keupayaan pengamal media negara Pasifik untuk melakukan tugas mereka terutamanya ketika hubungan antara rantau itu dan China menjadi semakin erat.
Lapor The Guardian, Wang Yi ketika ini dalam lawatan kerja rasmi ke lapan negara Pasifik selama 10 hari.
Setakat ini, pemimpin itu sudah mengadakan mesyuarat dua hala di Kepulauan Solomon, Kiribati, Samoa dan Fiji.
Wang Yi bakal mengunjungi Tonga, Vanuatu, Papua New Guinea dan Timor-Leste dalam tempoh berkenaan.
Dalam lawatan kerja ke empat negara Pasifik itu, Wang Yi memeterai perjanjian dua hala, namun sehingga kini menghalang wartawan rantau itu untuk mengemukakan soalan.
Mereka dimaklumkan sebelum sidang akhbar bermula, sebarang pertanyaan soalan tidak dibenarkan.
Sementara itu, seorang wartawan dari Fiji, Lice Monovo mendakwa dia menyaksikan pelbagai cubaan oleh pegawai China untuk mengehadkan wartawan membuat liputan lawatan pemimpin tertinggi itu.
“Sejak awal lagi terdapat banyak kerahsiaan, tiada ketelusan dan akses diberikan,” katanya.
Menurut Monovo, pengamal media yang dibenarkan untuk membuat liputan lawatan Wang Yi disekat dan pas media mereka dibatalkan tanpa memberi sebarang penjelasan.
“Polis mengarahkan saya dan jurukamera meninggalkan lobi Hotel Grand Pacific di Suva.
“Kami berada di sana untuk membuat liputan pertemuan antara Wang Yi dan Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, Isnin lalu,” katanya.










