WASHINGTON: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Kemanusiaan (HHS) melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat (AS) mula menghantar ujian cacar monyet kepada lima syarikat makmal komersial.
Usaha meningkatkan kapasiti ujian dan akses ujian itu membabitkan makmal rujukan terbesar negara termasuk Aegis Science, Labcorp, Mayo Clinic Laboratories, Quest Diagnostics dan Sonic Healthcare.
Makmal komersil berkenaan akan meluaskan kapasiti ujian secara ketara di seluruh negara dan menjadikan ujian lebih mudah dan boleh diakses untuk pesakit serta penyedia penjagaan kesihatan.
Justeru, penyedia penjagaan kesihatan boleh menggunakan makmal terbabit pada awal bulan depan dan kapasiti ujian melalui syarikat itu akan dipertingkatkan sepanjang bulan.
“Semua warga AS harus berwaspada dengan wabak cacar monyet. Mujur kita sekarang sudah mempunyai alat untuk memerangi dan merawat kes di sini.
“Dengan memiliki lebih banyak lokasi ujian saringan di seluruh negara, orang ramai boleh melakukan ujian jika mengesyaki diri mereka dijangkiti secara mudah,” kata Setiausaha HHS, Xavier Becerra.
Sehingga Selasa lalu, terdapat 142 kes cacar monyet yang dilaporkan di seluruh AS di 24 negeri termasuk Washington DC.
Sejak AS mula mengesan kes pertamanya, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) bekerjasama dengan makmal dan pengilang komersial bagi menjadikan akses ujian cacar monyet lebih mudah didapati oleh pesakit dan pembekal yang memerlukannya.
FDA turut bekerjasama rapat dengan CDC untuk meningkatkan pengeluaran ujian yang diluluskan oleh FDA.
Pada masa sama, FDA menggunakan budi bicara penguatkuasaan berkenaan ujian CDC, yang membenarkan hospital membangunkan ujian makmal berkualiti tinggi mereka sendir.
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat 2,746 kes cacar monyet dikenal pasti sehingga 21 Jun lalu di 29 negara dan kawasan di keseluruhan Eropah.
Lebih 40 negara di mana cacar monyet diisytiharkan bukan endemik, kini sudah melaporkan wabak penyakit virus itu, dengan mangsa yang disahkan melebihi 3,000 kes.
Di rantau Asia Pasifik, Australia setakat ini mengesahkan lapan kes cacar monyet manakala Singapura dan Korea Selatan masing-masing melaporkan satu dan dua kes.