NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 26 orang maut dan empat lagi cedera selepas sebuah bas dinaiki mereka, terjunam ke dalam gaung di kawasan pergunungan di Uttarakhand, utara India.
Memetik laporan Al Jazeera, bas yang membawa seramai 30 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan ke Yamunotri sebelum terkeluar dari jalan dan jatuh dalam gaung pada petang semalam.
Kejadian itu berlaku berhampiran Damta di daerah Uttarkashi, kira-kira 160 kilometer (km) dari ibu negeri Dehradun.
“Penumpang yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapat rawatan,” kata ketua polis daerah, Arpan Yaduvanshi.
Tambah Yaduvanshi, pasukan penyelamat masih sedang mencari penumpang yang hilang.
Katanya, angka kematian dijangka meningkat.
Berdasarkan laporan media tempatan, bas itu membawa seramai 28 pelancong dari daerah Panna di Madhya Pradesh.