WHO adakan mesyuarat tergempar  - Utusan Malaysia

WHO adakan mesyuarat tergempar 

KES cacar monyet kini dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan buah negara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan penularan jangkitan cacar monyet selepas lebih 100 kes disahkan atau disyaki di Eropah.

Dengan Jerman menyifatkannya sebagai wabak terbesar di Eropah, setakat ini, kes jangkitan cacar monyet dilaporkan di sekurang-kurangnya sembilan buah negara.

Sembilan negara Eropah itu merangkumi Belgium, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom (UK) serta turut dikesan di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia.

Pihak berkuasa kesihatan di Sepanyol melaporkan 24 kes baharu terutamanya di Madrid ketika kerajaan tempatan menutup sebuah sauna yang dikaitkan dengan majoriti kes jangkitan tersebut.

Jumlah jangkitan di Sepanyol kini mencecah 30, manakala 23 kes disahkan kini dikenal pasti di negara jiran Portugal, yang mana sembilan kes baharu dikesan semalam.

Di Beligum, tiga kes cacar monyet yang disahkan dikaitkan dengan festival seks berskala besar di bandar pelabuhan Antwerp, kata penganjur.

Penganjur Festival Darklands memberi amaran kepada pengunjung yang menghadiri pesta empat hari bermula 5 Mei lalu bahawa pihak berkuasa negara itu mengaitkan tiga kes dengan acara berkenaan.

Sementara itu, seorang pegawai kanan pentadbiran AS memaklumkan banyak kes lagi mungkin dikesan di negara itu namun ketika ini risiko kepada orang awam masih berada pada tahap rendah.

Jabatan Kesihatan Awam Massachusetts mengesahkan kes pertama cacar monyet di AS pada Rabu lalu.

Kes itu membabitkan seorang lelaki yang pernah mengunjungi Kanada.    

Dilaporkan, sebuah hospital di Israel sedang merawat seorang lelaki berusia 30an yang menunjukkan gejala konsisten dengan jangkitan itu selepas tiba dari negara Eropah Barat baru-baru ini. 

Pertama kali dikenal pasti oleh saintis pada 1958 dalam penyelidikan ke atas monyet, jangkitan itu lazimnya merebak melalui hubungan rapat dan jarang menular di luar Afrika.

Oleh itu, siri kes yang dilaporkan ketika ini mencetuskan kebimbangan.

Bagaimanapun, saintis berpandangan jangkitan itu tidak akan berkembang menjadi pandemik seperti Covid-19 memandangkan virus itu tidak merebak semudah SARS-COV-2.

Cacar monyet sering menunjukkan simptom melalui demam, sakit otot, pembengkakan kelenjar, menggigil, keletihan dan ruam seperti cacar air pada tangan dan muka. 

Kes cacar monyet pertama di Eropah disahkan pada 7 Mei lalu, membabitkan seorang individu yang pulang ke England dari Nigeria.

Menurut penjejak ahli akademik Universiti Oxford, sejak itu, lebih 100 kes disahkan di luar Afrika. – REUTERS/AFP    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN