PETALING JAYA: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman akan disiasat oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berikutan pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Perkembangan terbaharu itu, disahkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan selain Noor Azman perlu dihadapkan ke FIFA, dia juga akan dirujukkan kepada Jawatankuasa Disiplin FAM sebelum nasibnya bakal diputuskan nanti.
“Kita akan merujuk Noor Azman kepada Jawatankuasa Disiplin FAM susulan cadangan daripada IIC dan kita juga baru menerima emel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan ke atas beliau.
“Alasan FIFA adalah mereka ingin mengetahui peranan Noor Azman, proses yang dilakukan dan sejauh mana pembabitannya untuk dokumen yang dihantar.
“FIFA lebih hendak mengetahui proses dilaksanakan Noor Azman dan tanggungjawab yang dilakukannya dengan lebih mendalam serta jelas,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, semalam.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut menjelaskan mereka perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin dan kemudiannya akan dirujuk kepada Exco bagi menentukan status Noor Azman selepas ini.
“Jika didapati bersalah, kita akan bawa kepada Exco untuk menentukan apa bentuk hukuman yang akan ditentukan. Ia bergantung kepada sejauh mana kesalahan yang dilakukannya itu.
“Kalau kesalahan setakat itu, ada hukumannya dan kalau kesalahan itu tinggi, ada hukumannya tetapi di akhirnya, Exco yang akan buat keputusan”, jelasnya.
Pada Oktober lalu, Noor Azman digantung tugas serta-merta berikutan siasatan melibatkan FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.
Tindakan itu disahkan sendiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram yang memaklumkan penggantungan berkuat kuasa 17 Oktober pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma FAM. – UTUSAN










