UVALDE: Remaja yang didakwa terbabit dalam kejadian tembakan rambang di Sekolah Rendah Robb di Texas, dipercayai menembak neneknya di muka terlebih dahulu sebelum menuju ke lokasi berkenaan sekitar waktu tengah hari.
Namun, neneknya terselamat dan segera memaklumkan rancangan cucunya untuk memyerang sekolah rendah berkenaan kepada pihak berkuasa.
Pegawai Keselamatan Awam Jabatan Texas memaklumkan penembak berusia 18 tahun itu dipercayai meninggalkan kenderaannya dan membawa sepucuk pistol serta mungkin selaras senapang ke dalam sekolah tersebut dan melepaskan tembakan rambang ke arah pelajar serta guru.
Terdahulu, Gabenor Texas, Greg Abbott berkata, suspek yang dikenali sebagai Salvador Ramos merupakan penduduk tempatan dan warga Amerika Syarikat (AS).

“Suspek ditembak mati selepas cuba menembak anggota polis yang cuba menahannya.
“Dia menembak dan membunuh secara mengerikan, ini tidak masuk akal sama sekali,” kata Abbott dalam sidang akhbar.
Sekurang-kurangnya 19 murid dan dua dewasa termasuk guru terkorban dalam insiden tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, kira-kira 80 kilometer ke barat San Antonio.
Serangan di Uvalde, Texas, sebuah komuniti kecil kira-kira sejam dari sempadan Mexico, merupakan tragedi terbaharu dalam siri insiden serangan bersenjata di AS.
Rakaman menunjukkan sekumpulan kecil kanak-kanak sekitar usia tujuh hingga 10 tahun dipimpin oleh guru ketika menyelinap di sebalik kereta dan bas dalam keadaan cemas, dengan ada yang menangis, cuba menyelamatkan diri.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden mengecam pemilikan senjata api dan berikrar untuk menamatkan rentetan insiden tembakan secara besar-besaran di negara itu.
Jelasnya, sudah tiba masanya untuk mengubah kekejaman itu kepada satu tindakan lebih tegas.
“Bagi mereka yang menghalang, melambatkan atau menyekat undang-undang senjata api, kami mahu memaklumkan bahawa kami tidak akan lupa.
“Sebagai sebuah negara, kita perlu bertanya bila kita akan menguatkuasakan undang-undang senjata api dan apa yang kita semua perlu lakukan,” ujarnya.
White House mengarahkan bendera dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung untuk mangsa terkorban dalam tragedi mengerikan itu.
Sekolah Rendah Robb yang mempunyai kira-kira 500 pelajar, kebanyakannya warga Hispanik daripada golongan miskin. – AFP










