'Tiada ayam, kami tutup sahaja kedai sementara waktu'

‘Tiada ayam, kami tutup sahaja kedai sementara waktu’

SATU daripada gerai yang menjual ayam segar di Pasar Beo Crescent di Singapura. - CNA/GRACE YEOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Sejumlah kedai yang menjual ayam mentah di republik ini terpaksa menghentikan sementara operasi selepas kerajaan Malaysia melarang eksport ayam bermula 1 Jun ini.

Langkah itu melibatkan kira-kira 3.6 juta ekor ayam sebulan dan larangan berkenaan akan diteruskan sehingga harga dan pengeluaran ayam di Malaysia kembali stabil.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), kira-kira satu per tiga bekalan ayam di republik ini diimport dari Malaysia, selain Brazil (49 peratus) dan Amerika Syarikat (12 peratus).

SFA turut memaklumkan pihaknya akan cuba bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi mengaktifkan rangkaian bekalan untuk meningkatkan import ayam beku dari sumber alternatif lain.

Biarpun tidak jelas bagaimana larangan eksport ayam oleh Malaysia bakal menjejaskan bekalan dan harga di Singapura, para peniaga tetap menzahirkan kebimbangan mereka.

 

HENTIKAN PERNIAGAAN

Harga ayam di republik ini sudah pun merekodkan kenaikan sejak beberapa bulan lalu.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Singapura, harga purata bagi seekor ayam adalah S$7.21 (RM23) per kilogram pada April tahun ini, iaitu meningkat dari S$6.60 (RM21.10) per kilogram pada Mac lalu.

Harga kepak ayam turut naik iaitu dari S$8.75 kepada S$9.45 per kilogram (RM27.90 kepada RM30.20).

Sehubungan itu, ramai peniaga bimbang jika mereka terpaksa menaikkan lagi harga ayam dan menyebabkan pembeli ‘keberatan’ untuk membuat pembelian.

Di Pasar Bukit Mewah, peniaga ayam, Mohamed Basheer berkata, perniagaannya sudah pun terjejas akibat kenaikan harga barang makanan, namun peniaga berusia 42 tahun itu berusaha untuk tidak menaikkan harga jualannya terlalu tinggi.

“Jika saya naikkan harga, pelanggan pula lari dan kalau boleh kami sebagai peniaga tidak mahu perkara itu berlaku.

“Ramai juga pelanggan mengadu mereka berasa tidak puas hati kerana harga ayam yang mahal dan disebabkan itu, takkanlah kami perlu naikkan lagi harga ayam? Soalnya.

Mohamed menyatakan, dia memberitahu kepada pelanggannya bahawa mereka tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli barang keperluan yang dinaikkan harga.

Seorang lagi peniaga, Peh Ah Lai berkata, larangan eksport ayam itu sememangnya menjejaskan perniagaannya.

Katanya, dia tidak mampu berkata apa-apa apabila pelanggan mengeluh harga jualannya semakin mahal.

“Kami tiada pilihan. Bukan kami yang mahu naikkan harga,” ujarnya.

Dalam pada itu, di kedai Ayam Segar Swee Heng di Pasar Beo Crescent, peniaga Ng Kwee Huey memaklumkan dia tidak mengetahui larangan eksport ayam yang bakal dilaksanakan Malaysia.

Wanita itu turut bertanya berapa lama larangan itu akan dilaksanakan memandangkan bekalan ayamnya adalah dari Malaysia.

“Jika tiada bekalan ayam dari Malaysia, maka kami akan tutup sementara perniagaan.

“Kos jualan sudah pun tinggi. Jika saya boleh berhenti menjual, maka saya akan berhenti.

“Cara itu lagi mudah berbanding menjual barang yang terlalu mahal,” katanya kepada Channel News Asia.

Perkara sama berlaku Pasar Tiong Bahru apabila peniaga ayam tidak dimaklumkan oleh pembekal mereka mengenai larangan terbabit.

Seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Mei berkata, biarpun perniagaan ayamnya tidak terjejas teruk, dia masih bimbang dengan larangan eksport tersebut.

“Ketika ini saya masih mempunyai pelanggan yang ramai kerana saya tidak naikkan harga terlalu tinggi.

“Tapi, jika selepas ini tiada bekalan ayam, saya akan hentikan perniagaan buat sementara waktu,” jelasnya.

Seorang lagi peniaga ayam, Stanley Yeow memaklumkan, dia hanya menjual apa yang dibekalkan oleh pembekal.

Jika tiada bekalan, dia tidak teragak-agak untuk tutup sementara perniagaannya sehingga keadaan pulih.

 

PELANGGAN TIDAK TERJEJAS

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemukan memaklumkan larangan eksport tersebut tidak menjejaskan mereka.

Seorang pembeli, Jenny Ng memaklumkan keluarganya hanya makan ayam secara berkala dan larangan eksport yang dikenakan Malaysia tidak memberi kesan yang besar terhadap keluarganya.

Seorang lagi pembeli menyatakan, jika harga naik, maka mereka mempunyai pilihan untuk menentukan apa yang perlu dimakan atau dimasak.

Namun, mereka tidak menolak berlakunya reaksi terhadap rantaian bekalan ayam di republik ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya