JAKARTA: Sekumpulan individu yang menyokong Ustaz Abdul Somad mengadakan protes di hadapan Kedutaan Singapura di sini selepas penceramah terkenal itu dilarang masuk ke republik itu.
Lapor Detik.com, tunjuk perasaan itu diadakan oleh kumpulan yang digelar Perisai.
Dilaporkan, penunjuk perasaan membawa bendera Indonesia dan mengedarkan risalah yang mengemukakan tiga tuntutan.
Antara tuntutan tersebut adalah mengecam tindakan Imigresen Singapura terhadap Abdul Somad, meminta Kedutaan Besar Singapura di Indonesia memberikan penjelasan dan meminta maaf secara terbuka.
Selain itu, mereka juga menggesa Duta Besar Singapura meletak jawatan kerana mengusir Abdul Somad.
“Singapura secara terbuka menuduh Abdul Somad sebagai radikal. Malah dituduh sebagai pengganas,” kata seorang penunjuk perasaan, Muhammad Saleh.
Sementara itu, protes sama turut berlaku di Konsulat Agung Singapura di Medan yang membabitkan ahli Perikatan Pertubuhan Islam Sumatera Utara.