WELLINGTON: New Zealand membuka semula sempadan negaranya kepada warga dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun dan lebih 50 negara lagi.
Sempadan negara dibuka, buat pertama kali dalam tempoh lebih dua tahun sejak pandemik Covid-19 melanda New Zealand.
Lapor Al Jazeera, Menteri Pelancongan, Stuart Nash berkata, ribuan pelancong asing dijangka tiba di New Zealand pada hari ini.
“Hari ini merupakan detik besar dan bermakna kepada New Zealand dalam menghubungkan semula dengan dunia,” katanya.
New Zealand menerima ketibaan lebih 3 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2019, sebelum sempadan ditutup pada 2020 akibat pandemik Covid-19.
New Zealand membenarkan kemasukan pelancong dari Australia tiga minggu lalu dan hari ini meluaskannya kepada kira-kira 60 negara pengecualian visa termasuk sebahagian besar Eropah.
Pelancong dari India, China dan beberapa negara lain masih tidak dibenarkan memasuki New Zealand.
Para pengunjung yang sudah divaksin, masih perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan Covid-19 selepas tiba di negara itu.